Tuesday, June 12, 2007

"Kerugian" tidak jadi ke Banjarmasin

Dengan membatalkan kepergian saya ke Banjarmasin pada hujung minggu ini, memang banyak "kerugian" yang saya alami. Misalnya saya tidak dapat melihat bagaimana Gabenor Kalsel membuka atau merasmikan Konferensi Antaruniversiti Se Borneo-Kalimantan Ke-13 di Mahligai Pancasila, Banjarmasin, membentangkan kertas kerja, melihat kota Banjarmasin, menemui keluarga dan menemui beberapa orang kenalan yang sudah sedia menunggu.

Akan tetapi, apakah daya saya, halangan untuk pergi ke Banjarmasin nampaknya agak besar. Oleh itu, saya berharap saya akan dapat juga pergi ke Banjarmasin pada masa dan kesempatan yang lain, kalau mungkin menjelang akhir tahun ini.

Monday, June 11, 2007

Jasa seorang "adik"

Saya tidak menyangka posting yang saya masukkan dalam blog ini ada juga orang di Banjar yang membacanya.

Salah satu posting saya, iaitu tentang mencari keluarga di Pajukungan, Barabai telah dibaca oleh seorang pelajar sekolah dari Pajukungan. Dia telah mencetak posting itu dan menunjukkannya kepada keluarga saya di Pajukungan.

Keluarga saya di Pajukungan, setelah bertanya kepada orang-orang tua di situ, merasa pasti kami rupanya masih mempunyai pertalian keluarga. Oleh itu, salah seorang daripada mereka, pangkat sepupu kepada saya, telah menghubungi saya melalui nombor telefon yang saya nyatakan dalam posting itu.

Sejak itu kami dapat berhubung kembali, melalui telefon dan emel. dan mudah-mudahan dengan izin Allah, kami akan dapat bertemu apabila saya berkunjung ke Banjar nanti.

Kepada "adik" yang berkenaan, yang telah memaklumkan posting itu kepada keluarga saya, saya ucapkan berbanyak terima kasih. Adik sebenarnya telah berjasa mempertemukan kami yang telah terpisah puluhan tahun. Sekali lagi terima kasih dan salam bahagia daripada saya. Kalau "adik" dan keluarga berminat untuk berkenalan dengan saya, hubungilah saya melalui emel (harat1942@yahoo.com)

Saturday, June 9, 2007

Tidak jadi ke Banjar

Memang terasa sedih juga setelah merancang begitu lama untuk menghadiri Konferensi Antaruniversiti Se Borneo Kalimantan Ke-3 di Banjarmasin pada pertengahan bulan Jun 2007 ini, akhirnya saya terpaksa mengambil keputusan tidak jadi menghadiri konferensi itu.

Kertas kerja yang akan saya bentangkan sudah diterima oleh sekretariat dan temujanji juga sudah dibuat dengan beberapa orang yang akan saya temui.

Akan tetapi, kerana kelambatan saya membuat tempahan tiket kapal terbang, saya tidak dapat lagi membeli tiket penerbangan ke Banjarmasin dengan harga yang "munasabah". Apatah lagi sekarang di Indonesia ialah musim cuti sekolah. Kebanyakan penerbangan dari Jakarta atau Surabaya ke Banjarmasin sudah lama dibooking penuh, dan mungkin hanya tiket Garuda yang masih ada, tetapi harganya pula melambung tinggi!

Oleh itu, saya terpaksa memilih masa lain yang lebih sesuai dan lebih santai untuk ke Banjarmasin. Saya jangka pada masa hadapan akan tetap ada beberapa acara lain di Banjarmasin yang boleh saya ikuti. Di samping itu, tujuan lain yang penting juga, iaitu menemui keluarga dan melihat tanah Lambung Mangkurat masih boleh saya lakukan pada masa hadapan.

Oleh yang demikian, kepada keluarga dan teman di Banjarmasin yang sudah menunggu kedatangan saya, saya pohon berbanyak maaf. Mudah-mudahan, kita akan dapat bertemu juga pada masa dan kesempatan yang lain.

Tuesday, June 5, 2007

Mencari keluarga Datuk

Syukur alhamdulillah saya baru sahaja dapat berhubung dengan keluarga nenek sebelah ayah yang bernama Aminah binti Tasan, yang kini tinggal di Kalsel. Mudah-mudahan bila sampai waktunya nanti kita akan dapat berjumpa dan menyambung kembali hubungan persaudaraan yang telah terputus lama.

Akan tetapi, saya belum lagi mendapat apa-apa informasi tentang keluarga datuk sebelah ayah, bernama Andin Amin bin Andin Tarif, yang berasal dari Barabai.

Sayang agaknya Andin Amin tidak meninggalkan adik beradik atau anak di Banjar sebelum berhijrah ke Malaysia. Jadi sukar dipastikan sama ada dia masih mempunyai keluarga di Banjar atau tidak.

Bagaimanapun, oleh kerana Datuk saya ada "gelaran" Andin dipangkal namanya, mungkin ada juga Andin-Andin di Barabai yang ada hubungan persaudaraan dengannya. Jadi kalau ada sesiapa yang mengingati beliau dan mempunyai hubungan persaudaraan dengan beliau, sudilah menghubungi saya cucunya di alamat emel berikut: harat1942@yahoo.com

Emel dari keluarga di Kalsel

Di samping mendapat panggilan telefon, saya juga sudah menerima emel dari keluarga yang saya cari, di Kalimantan Selatan. Saya ucapkan berbanyak terima kasih.

Di bawah ini sekadar penerangan ringkas tentang nenek saya yang bernama Aminah bt. Tasan, yang berasal dari Pajukungan.

Aminah berkahwin buat kali kedua di Malaysia dengan Andin Amin bin Andin Tarif yang berasal dari Barabai. Mereka mendapat 7 orang, tapi hanya seorang yang masih hidup,bernama Asiah bt. Andin. Bagaimanapun cucu Aminah ramai juga; hampir 20 orang.

Saya salah seorang cucu Aminah.

Monday, June 4, 2007

Telefon dari Barabai

Pada tahun 1971 yang lalu, seorang bapa saudara saya yang berasal dari Kandangan datang ke kampung saya di Kuala Selangor dan berjumpa dengan Pak Cik dan Mak Cik saya. Saya tidak berapa pasti tujuan dia datang. Tapi kalau tidak silap untuk menyelesaikan tuntutan terhadap harta pesaka yang ditinggalkan oleh ayahnya yang telah meninggal dunia di Malaysia. Itulah kali terakhir kami berhubung dengan saudara kami yang berasal dari Kalsel.

Bagaimanapun, selepas dia pulang ke Kandangan hubungan kami telah terputus. Mungkin selepas itu ada hubungan surat menyurat antara dia dengan bapa saudara saya yang berada di Malaysia, tetapi tidaklah begitu kerap dan akhirnya terputus begitu sahaja. Saya sendiri yang pada masa itu merasakan Banua Banjar itu seperti "dunia lain" masih belum terdorong untuk menghubungi saudara mara saya yang masih ada di Kalsel.

Oleh yang demikian, malam ini adalah malam yang paling berbahagia bagi saya, kerana seorang sepupu saya yang sekarang tinggal di Barabai telah menghubungi saya melalui telefon. Kebetulan dia telah mengetahui saya akan ke Banjarmasin pada pertengahan bulan Jun ini. Dia telah memberi nombor telefon seorang anak saudaranya yang tinggal di Banjarbaru untuk saya hubungi apabila saya telah sampai ke Kalsel nanti.

Saya berharap dengan kunjungan saya ke Banjarmasin nanti, perhubungan persaudaraan yang telah terputus begitu lama akan bersambung kembali. Syukur alhamdulillah!

Friday, June 1, 2007

Menunggu Kongres Budaya Banjar

Pada akhir tahun 2006 yang lalu saya ada terbaca dalam Banjarmasin Post bahawa satu kongres yang dinamakan "Kongres Budaya Banjar" akan diadakan di Kalsel menjelang akhir tahun 2006 itu.

Meskipun saya tentunya tidak dapat hadir, tetapi saya berminat untuk mengikuti laporan tentang kongres tersebut.

Akan tetapi, rupanya kongres itu tidak jadi diadakan, dan seorang kenalan di Banjarmasin memberitahu bahawa kongres itu akan diadakan pada tahun ini.

Sebagai seorang yang berminat mengetahui lebih banyak tentang budaya Banjar, saya tentunya menunggu-nunggu bilakah kongres itu akan diadakan. Walaupun barangkali saya tidak dapat menghadirinya, tetapi saya harap akan ada laporan tentang kongres itu dalam Banjarmasin Post nanti.