Tuesday, November 6, 2007

Tradisi "madam" dalam budaya Banjar

Antara topik yang dibincangkan dalam Kongres Budaya Banjar 1 di Banjarmasin tempoh hari (30 Oktober hingga 1 November 2007) ialah tentang tradisi "madam" dalam budaya Banjar atau di kalangan orang Banjar.

"Madam" jelas merupakan satu bentuk migrasi di kalangan orang Banjar, seperti tradisi "merantau" di kalangan etnik Minangkabau.

Sebelum Perang Dunia Kedua dahulu banyak orang Banjar yang madam ke Semenanjung Malaysia dan ke Indragiri Hilir, di Sumatera. Banyak di antara mereka yang terus menetap di tempat tujuan mereka. Jadi madam pada masa itu nampaknya ialah "madam yang tidak pulang".

Kini sangat kurang sekali orang Banjar yang madam ke Semenanjung Malaysia. Akan tetapi, ini bukan bererti orang Banjar tidak lagi madam ke luar Kalsel. Cuma tempat tujuan mereka madam nampaknya sudah berubah.

Dalam satu makalah yang ditulis oleh Dr. Mohamed Salleh Lamry, mantan dosen UKM, dinyatakan bahawa tempat tujuan orang Banjar madam pada masa ini adalah seperti berikut:

a) Tempat yang tidak begitu jauh dengan Kalsel, seperti Kalteng, Kalbar, Kaltim. dan Pulau Jawa. Mereka madam ke Kalteng, Kalbar dan Kaltim terutamanya untuk mencari penghidupan yang lebih baik, manakala ke Pulau Jawa pula terutamanya untuk menuntut ilmu, di samping ada juga untuk bekerja.

b) Tempat yang lebih jauh sedikit, seperti Sabah dan Sarawak di Malaysia Timur. Mereka madam ke tempat yang lebih jauh ini terutamanya untuk mencari penghidupan yang lebih baik, antara lain dengan berniaga.

c) Tempat yang agak jauh, seperti Mekah dan Madinah. Kedua-dua tempat ini pula merupakan tempat untuk menuntut ilmu agama dan berniaga. Jika kita berkunjung ke Mekah misalnya kita akan berjumpa dengan wanita Banjar yang berjual makanan, tudung dan telekung bersulam, dan barang perhiasan (emas). Banyak juga pelajar lelaki dari Banjar yang bekerja sebagai mutawif pada musim umrah dan haji.

Tradisi madam orang Banjar ke Mekah dan Madinah mungkin paling menarik untuk dikaji, kerana walaupun Mekah dan Madinah agak jauh dari Kalsel, tetapi tradisi madam ke tempat itu, yang berkaitan dengan pengajian agama dan perniagaan, terus berlanjutan sehingga sekarang.

Thursday, November 1, 2007

Menulis buku "Orang Banjar di Malaysia"

Antara idea yang terlahir dari Kongres Budaya Banjar 1 di Banjarmasin (30 Oktober- 1November 2007) adalah tentang penulisan sejarah orang Banjar di perantauan, sama ada di Riau, Jawa, Malaysia dan tempat-temnpat lain. Idea ini diucapkan oleh perwakilan dari Riau, dan beliau bercadang untuk menulis buku tentang Orang Banjar di Riau.

Kebetulan sehingga kini belum ada buku tentang sejarah orang Banjar di Malaysia. Oleh itu idea ini saya kira wajar disambut juga oleh orang Banjar di Malaysia. Walaupun sudah terlambat, bagus sekali jika ada sesiapa orang Banjar di Malaysia yang menulis buku tentang orang Banjar di Malaysia pula.

Tidak lama dahulu memang ada berita bahawa salah seorang "orang besar PBM" sedang menulis buku tentang Orang Banjar di Johor. Akan tetapi buku tersebut rasanya belum terbit sehingga kini.

Sementara itu, yang kita perlukan ialah buku sejarah tentang perantauan orang Banjar ke Malaysia pada keseluruhannya. Kita perlukan buku tentang orang Banjar di Malaysia, khasnya di tempat yang banyak orang Banjar, iaitu di Perak, Selangor dan Johor, bukan di Johor sahaja.Siapa yang akan menulisnya?