Monday, January 25, 2010

Lawatan PBM ke Banjarmasin

Persatuan Banjar Malaysia (PBM) telah memaklumkan akan mengadakan lawatan ke Banjarmasin mulai 22 Mac 2010 ini.  Ini satu berita bagus. Setelah lama tidak membuat lawatan ke mana-mana tentu wajar sekali jika PBM menganjurkan  lawatan pada awal  tahun ini.

Bagaimanapun, saya tidak faham mengapa lawatan itu hanya 3 hari malam (agaknya 22 hingga 24 Mac saja). Kalau  3 hari 2 malam, saya rasa hanya "penat di jalan", kerana perjalanan ke Banjarmasin dari Malaysia, pergi dan balik, sudah memakan masa 2 hari. Jadi apa yang dapat dilihat 1 hari di Banjarmasin?

Selepas ini,  saya kira baik juga jika PBM dapat menganjurkan lawatan ke Tembilahan atau Sumut, iaitu dua empat yang ramai orang Banjar di Sumatera, dan bertemu dengan orang Banjar di  tempat itu.

Di samping itu, tidakkah PBM mempunyai mempunyai rancangan untuk mengadakan umrah ke Mekah dan Medinah? Alangkah bagusnya jika sesekali, atau kalau mungkin setahun sekali, PBM menganjurkan "Umrah bersama PBM"  misalnya.

Tuesday, January 19, 2010

Kisah Andin Amin

Sebenarnya banyak keluarga saya di Banjar yang tidak pernah berjumpa dan tidak mengenali  aruah datuk saya Andin Amin, kerana Andin Amin telah meninggalkan Kalimantan Selatan dan berhijrah ke Malaysia lebih seratus tahun yang lalu.

Cucu dan cicit beliau di Malaysia juga banyak yang tidak pernah berjumpa dengan beliau dan tidak mengenali beliau.

Oleh itu, saya telah menulis draf buku kecil yang saya beri tajuk Kisah Andin Amin dengan tujuan untuk memperkenalkan siapakah Andin Amin. Dalam buku kecil ini saya ceritakan riwayat hidup Andin Amin, isterinya, anak-anaknya dan adik beradiknya.

Saya harap buku kecil ini ada manfaatnya untuk tatapan dan simpanan cucu cicit Andin Amin, di Malaysia dan di Kalimantan Selatan.

Buku kecil ini akan saya cetak secara fotokopi saja dan akan  saya berikan kepada cucu dan cicit Andin Amin yang berminat.

Sunday, December 27, 2009

Bila Kongres Budaya Banjar Ke-2?

Pada tahun 2007 yang lalu di Banjarmasin telah dilangsungkan Kongres Budaya Banjar 1. Saya dijemput hadir, tapi tidak dapat berkunjung ke Kalsel kerana ada halangan.

Saya difahamkan Kongres Budaya Banjar Ke-2 akan diadakan pada tahun 2010 yang akan datang (tinggal beberapa hari lagi). Saya berminat  untuk hadir, dan berharap pihak panitia akan memberitahu saya tentag kongres itu apabila sampai masanya nanti.

Thursday, December 24, 2009

Berombongan ke Banjar

Saya sudah dua kali berkunjung ke Banjar. Kali pertama, Mac 2008, saya pergi berdua  dengan isteri saya. Kali kedua, Disember 2009, saya membawa rombongan keluarga seramai 24 orang, yang terdiri daripada  beberapa orang   adik sepupu dan anak-anak mereka dan juga mak cik serta  pakcik saya.

Jika  keadaan mengizinkan, saya ingin pergi  lagi ke Banjar   dengan rombongan orang-orang Banjar pada masa hadapan. Caranya tidaklah begitu sukar. Kalau ada kira-kira 25 orang hingga 30 orang yang mahu pergi bersama, kita boleh mencari mana-mana   travel agency yang boleh menguruskan lawatan kita. Di sana juga ada pemandu pelancong  Banjar yang boleh membawa kita ke  mana-mana. Adakah sesiapa yang berminat?

Monday, December 21, 2009

Menulis dalam Pontianak Pos

Hari ini saya menulis dalam buku tamu akhbar Pontianak Pos untuk mencari keluarga saya di Kalbar, khasnya di Pontianak.


Saya tidak tahu akan mendapat respons atau tidak.

Akan tetapi, saya yakin tentu ada orang Banjar di Kalbar yang mengenali anak cucu Haji Mukhsen, keluarga yang saya cari.  Jadi saya harap ada sesiapa yang sudi menghubungi saya.

Sunday, November 29, 2009

Kunjungan ke Banjarmasin

Insyaallah, saya dan rombongan  akan sampai ke Banjarmasin pada 8 Disember 2009 dengan penerbangan petang. Kami menaiki pesawat  Garuda dari Jakarta dan dijadualkan akan sampai pada pukul 4.30.

Telah direncanakan kami akan menginap di Hotel Pesona, Banjarmasin  selama satu malam. Esoknya 9 Disember kami  akan bertolak ke Barabai  dan menginap di sana selama 2 malam. Dijangka kami akan   menginap di Hotel Puspa.

Pada 11 Disember 2009 kami akan kembali ke Banjarmasin dan menginap di Hotel Pesona lagi selama satu malam sebelum berangkat ke Jakarta pada hari esoknya.

Kami ada  acara bebas  ( free atau tidak ada acara khusus) pada sebelah pagi 12 Disember 2009. Jika sempat, saya tentunya akan menggunakan sebahagian masa ini untuk mencari buku di Gramedia dan toko  buku yang lain

Terima kasih kepada semua  kulaan dan kenalan yang sudah membuat temujanji untuk bertemu dengan kami.

Wednesday, November 4, 2009

Akan berkunjung ke Barabai

Selama bertahun-tahun, puluhan tahun, saya hanya mengetahui  dari jauh nama Barabai,   sebuah kota sederhana di Kalsel  yang berhampiran dengan kampung asal datuk dan nenek saya, Pajukungan.

Sehingga awal tahun 2005 atau 2006, saya belum terfikir untuk  berkunjung ke kota tersebut dan ke kampung Pajukungan.

Saya ada merancang untuk ke Banjarmasin pada pertengahan tahun 2007, sempena Konferensi Antaruniversiti Borneo-Kalimantan yang akan diadakan di UNLAM. Tapi kerana beberapa halangan, saya tidak jadi pergi.

Bagaimanapun pada awal Mac  2008,  saya  bertekad untuk berkunjung ke Kalsel, tempat  kelahiran  dan tempat asal datuk nenek saya. Jadi dengan bantuan Sdr. Setia Budhi, dosen UNLAM yang sedang mengikuti program Ph.D di UKM dan   setelah menghubungi keluarga saya di Kalsel, saya  dan  isteri telah berkunjung ke Kalsel  dari 10 Mac hingga 15 Mac 2008.

Ketika di Kalsel saya berkesempatan berkunjung ke Barabai dan berjumpa dengan dua orang sepupu saya,  M.Ilmi dan Syahruddin dan banyak saudara mara yang lain. Saya terkesan dengan sambutan mereka yang hangat dan mesra. Ini memang kunjungan yang berhasil dan membahagiakan.

Pada bulan Disember tahun ini, jika tiada apa-apa halangan, saya dan isteri  akan berkunjung ke Barabai sekali lagi bersama rombongan keluarga lebih 20 orang.

Mengikut  aturcara lawatan kami, kami akan berkunjung ke Barabai  pada 9  Disember 2009. Kami dijangka sampai di  Barabai pada sebelah petang dan akan menginap di sebuah hotel di Barabai (mungkin Hotel PUSPA)  selama 2 malam. Kami akan meninggalkan Barabai pada pagi  11  Disember 2009 untuk meneruskan lawatan di Martapura dan Banjarmasin.