Friday, January 18, 2008

Lawatan ke Banua

Pada masa yang akhir-akhir ini nampaknya semakin ramai orang Banjar dari Malaysia yang berkunjung ke Banua atau ke Kalimantan Selatan (Kalsel). Tujuan utamanya tentulah untuk menemui keluarga di sana. Sebahagian daripada mereka, ada yang berkhabar melalui lawan web tertentu sebelum pergi ke sana, tetapi ada juga yang pergi "secara senyap-senyap" sahaja.

Adalah menarik juga bahawa dua orang daripada mereka yang melakukan lawatan ke Banua pada bulan November 2007 yang lalu telah memasukkan catatan lawatan mereka berserta dengan pelbagai gambar dalam laman web Ayuhak Bapander.

Kunjungan orang Banjar Malaysia ke Kalsel tentunya merupakan sesuatu yang alamiah, dan tentunya wajar dilakukan, kerana mereka masih mempunyai ramai saudara mara di sana. Dengan itu, perhubungan orang Banjar di Malaysia dengan orang Banjar di Banua bukan sahaja tidak terputus, malah dapat dipereratkan dari masa ke masa.

Bagaimanapun, di samping kunjungan yang bersifat kunjungan persendirian ini, mungkin sekali-kala elok juga orang Banjar dari Malaysia melakukan kunjungan secara berombongan dan mempunyai acara yang agak "rasmi", misalnya menemui tokoh-tokoh Banjar dan mengadakan perjumpaan dengan organisasi orang Banjar di Banua.

Kebetulan beberapa tahun yang lalu, Persatuan Banjar Malaysia (PBM), satu-satunya organisasi orang Banjar di Malaysia, pernah melakukan lawatan secara berombongan seperti itu. Kalau tidak salah, dalam kunjungan kali pertama, mereka telah disambut dan diraikan oleh Gabenor Kalsel. Dalam satu kunjungan yang lain pula, rombongan PBM dan ABIM pernah menyertai satu seminar tentang Syekh Muhammad Arsyad Al-Banjari di Kalsel.

Oleh yang demikian, jika PBM mahu menunjukkan ia masih hidup dan bernafas, adalah wajar sekali jika PBM menganjurkan lawatan berombongan ke Banua dalam waktu terdekat. Kalau PBM masih tidak ada projek besar, projek lawatan seperti itu tentulah mampu dilakukan oleh PBM, jika PBM masih ada kemahuan!

No comments: