Saya mula berusaha mencari keluarga saya di Kalsel pada tahun 1988 yang lalu. Seorang bapa saudara saya, Jailani memberitahu, bahawa salah seorang keluarga kami yang boleh saya hubungi bernama Ahmad, tinggal di Pajukungan. Berdasarkan nama dan alamat yang tidak lengkap, saya cuba mengirim surat kepada beliau. Malangnya surat saya dikembalikan dengan catatan tidak dapat disampaikan.
Pada akhir tahun 1988 atau awal 1989, saya memasukkan surat "mencari keluarga" dalam majalah Tempo. Saya tidak mendapat respons sama sekali. Mungkin majalah Tempo tidak ada dijual di kampung seperti Pajukungan dan mungkin orang Pajukungan tidak ada yang membaca majalah Tempo. Jadi memang saya memuatkan surat itu di tempat yang salah.
Kemudian saya memasukkan surat "mencari keluarga" dalam koran Banjarmasin Post. Respons yang saya terima cukup memberangsangkan. Saya menerima hampir 20 pucuk surat, tapi malangnya bukan dari keluarga saya. Mereka umumnya ialah orang-orang yang ingin berkenalan dan menjalin hubungan silaturahim dengan saya. Respons dari keluarga saya masih tidak ada.
Bagaimanapun, di antara orang-orang yang memberi respons itu ada seorang yang menyatakan berasal dari Barabai, dan akan menolong menanyakan tentang keluarga saya, bila beliau pulang ke Barabai. Namanya ialah Ir.Asmawaty,tinggal di Jl.Banjar Permai No.14, RT 25, Kompleks Banjar Indah Permai, Banjarmasin. Beliau mengira mungkin kami ada hubungan keluarga, kerana datuk dan nenek saya juga berasal dari Barabai. Dalam salah satu suratnya beliau menyatakan beliau menunggu saya datang ke Kalsel.
Sayangnya, setelah berutus surat beberapa kali, hubungan kami telah terputus begitu saja. Mungkin beliau sibuk dan tidak dapat membalas surat yang saya kirimkan, dan saya pula tidak mengirim surat selanjutnya.
Kini, setelah hampir 20 tahun berlalu, dan setelah saya berjaya mengesan keluarga saya di Barabai pada tahun 2007, barulah saya bercadang akan ke Kalsel pada 10 Mac 2008 yang akan datang. Saya tidak tahu adakah kini Ir.Asmawaty masih hidup dan masih ingat kepada saya. Akan tetapi, jika takdirnya beliau masih hidup dan jika ada kesempatan, saya ingin juga berjumpa dengan beliau nanti.
No comments:
Post a Comment