Antara pengalaman manis yang saya dan isteri saya alami ketika kami berkunjung ke Banua dari 10 Mac hingga 15 Mac 2008 yang lalu tentulah sambutan dan layanan yang begitu baik dan mesra yang diberikan oleh kulaan kami di tempat tersebut.
Ketika kami sampai di bandara Shamsudin Nor pada pukul 9.40 malam 10 Mac sudah menunggu anak saudara saya H.Rodinah bersama suaminya Prof. M.Rasmadi, Rektor Unlam. Prof. Rasmadi sengaja tidak membawa supir. Beliau sendiri yang memandu mobil dan membawa kami bermalam di rumah dinas beliau di Banjarmasin.
Pagi esoknya, Selasa 11 Mac 2008, Hj.Rodinah bersama adiknya dan anak saudaranya telah menemani kami melawat Pasar Terapung di Kampung Kuin, melawat makam Sultan Surian Syah dan makan pagi di satu warung di pinggir sungai, di kampung tersebut. Pada sebelah tengah hari H.Rodinah menjamu kami makan tengah hari di sebuah rumah makan Banjar di Banjarmasin, kemudian pada sebelah petang beliau menemani kami melihat-lihat bandar Banjarmasin dan Bandarbaru, termasuk membeli kain Sasirangan di Banjarbaru. Saya mengambil kesempatan menempah baju batik yang dijahit secara cepat dan boleh siap pada petang hari esoknya.
Pada hari Rabu, 12 Mac 2008, setelah menginap semalam lagi di rumah H.Rodinah (malam kedua ini di Banjarbaru), kami dihantar ke Pajukungan, Barabai oleh supir H.Rodinah, dengan ditemani oleh adik dan anak saudara H.Rodinah. Tempat tujuan kami ialah rumah ibu H.Rodinah yang tinggal bersama dengan anaknya (adik H.Rodinah). bernama Rohmadi. Di situlah kami akan ditempatkan selama satu malam.
Ketika kami sampai ke rumah ibu H.Rodinah, sudah menunggu dua orang sepupu saya, Syahrudin dan M.Ilmi, "kenalan emel" saya H.Huzaifah (adik ipar M.Ilmi) dan beberapa orang keluarga yang lain. Pertemuan pertama dengan Syahrudin dan M.Ilmi, di saat kami sudah tua, dan sesudah terputus hubungan begitu lama, memang merupakan pertemuan yang sangat mengharukan.
Pada petang Rabu dan malamnya (malam Khamis) kami ke rumah Syahrudin yang mengadakan sambutan maulud Nabi. Dari rumah ibu H.Rodinah, kami dihantar oleh anak saudara saya, Kursani. Kami dilayan dengan begitu baik dan mesra, walaupun agaknya sebahagian kulaan yang datang ke rumah Syhrudin ketika itu tidak menyedari kehadiran kami.
Esoknya, hari Khmis 13 Mac 2008 kami ke rumah M.Ilmi yang juga mengadakan sambutan maulud Nabi dengan dihantar oleh Kursani dan isterinya. Di rumah M.Ilmi banyak kulaan yang kami temui dan beramah tamah dengan kami. Selepas itu Kursani membawa kami ke Pagat, suatu tempat wisata dekat Barabai, dan dijamu makan yang begitu enak di situ. Malamnya kami bermalam di rumah Syahrudin.
Pagi esoknya, hari Jumaat 14 Mac 2008, dari Pujukungan, Barabai, kami dihantar oleh Kursani ke rumah H.Rodinah di Banjarbaru. Dalam perjalanan, kami dijamu oleh Kursani makan di tengahari di satu rumah makan Banjar di pinggir jalan, dan di bawa melawat makam Syeikh Arshad A-Banjari. Kami bersembahyang Jumaat di masjid Martapura.
Pada petang hari Jumaat itu H.Rodinah membawa kami ke Martapura untuk melihat-lihat kedai yang menjual permata. Kedainya banyak sekali, tapi harganya agaknya tidaklah murah. Jadi kami sekadar melihat-lihat sahaja.
Malam Sabtu, malam terakhir kami di Banua, kami menginap di rumah H.Rodinah di Banjarbaru. Sebagaimana yang dijanjikan dan kami harapkan, Ibu Ir Asmawati , kenalan saya sejak tahun 1989, dan suaminya dari Banjarmasin telah datang menemui kami dan beramah mesra dengan kami. Kami hargai kedatangan beliau dan kami tunggu kedatangan beliau di Malaysia.
Esoknya, jam 8.00 pagi kami dihantar ke bandara Shamsudin Nor oleh supir H.Rodinah dengan ditemani oleh adik beliau dan anak saudaranya. H.Rodinah dan Prof.M.Rasmadi tidak dapat menghantar kami, kerana mereka ada mesyuarat penting di Unlam pada pagi itu . Pukul 10.55 pesawat Garuda membawa kami ke Jakarta.
Selamat tinggal Banua. Selamat tinggal semua kulaan yang menyambut kami dengan ramah tamah dan memberi layanan yang cukup baik dan mesra. Semuanya akan kami kenang sebagai pengalaman kami yang amat manis!
No comments:
Post a Comment