Semalam, 6 Disember 2008, saya menerima telefon daripada adik sepupu saya Syahruddin yang sedang menunaikan ibadat haji di Mekah. Dia memaklumkan dia dan isterinya berada dalam sihat walafiat dan akan berangkat ke Arafah petang hari tersebut untuk mengerjakan wukuf.
Panggilan telefon itu tentu tidak saya duga, kerana kami baru saja dapat berhubung dan berkenalan ketika saya dan isteri berkunjung ke Barabai pada bulan Mac 2008 yang lalu. Itulah kali pertama saya dapat bertemu dengannya, dan dalam pertemuan itu dia ada memaklumkan bahawa dia memang sudah mendapat keizinan untuk menunaikan fardu haji pada tahun ini.
Saya ada menelefon Syahruddin, sebelum dia berangkat ke Mekah pada 19 November 2008. Saya doakan semoga dia dan isterinya akan selamat pergi dan selamat balik, sentiasa sihat walafiat, sentiasa diberi Allah kemudahan dan akan mendapat haji yang mabrur.
Ketika saya menerima telefon daripadanya pada kali ini, doa itulah juga yang dapat saya ulangi: semoga dia akan terus berada dalam sihat walafiat, diberi kemudahan dalam menyelesaikan ibadatnya, selamat pulang ke tanah air (Indonesia) dan akan mendapat haji yang mabrur.Amin.
1 comment:
belajar banyak
Post a Comment