Friday, February 22, 2008

Kiriman Buku ke Banjarmasin

Sebagai membalas buku yang dikirim oleh Bapak Wajidi, pada 12 Februari 2008 saya telah mengirim 7 buku kepada beliau melalui Pos Laju atau EMS.Agak aneh sedikit buku itu masih belum sampai kepada beliau di Banjarmasin sehingga 21 Februari 2008. Sepatutnya buku yang dikirim melalui EMS boleh sampai dalam tempoh 5 hari sahaja.

Saya telah menghubungi Pejabat Pos Kajang tempat mengirim buku itu pada pagi 22 Februari 2008 untuk menanyakan mengapa buku itu masih belum sampai. Saya telah diberi nombor telefon Ibu Pejabat Pos Laju di Kuala Lumpur untuk saya hubungi. Apabila saya menghubungi pejabat tersebut, saya diberitahu buku itu telah sampai ke Jakarta pada 15 Februari 2008. Akan tetapi, untuk mendapat maklumat selanjutnya saya perlu menghubungi sendiri Pejabat Pos di Jakarta atau di tempat buku itu dikirim. Satu jawapan yang tidak memuaskan, kerana seolah-olah mereka tidak bertanggung jawab lagi setelah buku itu sampai ke Jakarta, tetapi belum sampai kepada penerimanya.

Mujurlah pada pagi 22 Februari 2008 Bapak Wajidi telah menghubungi Pejabat Pos Besar di Banjarmasin untuk bertanyakan tentang buku tersebut. Rupanya buku tersebut sudah sampai ke pejabat pos tersebut, tetapi Bapak Wajidi tidak dimaklumkan tentang hal itu. Dalam hal ini nampaknya ada masalah komunikasi antara Bapak Wajidi dengan pejabat pos yang berkenaan.

Bagaimanapun, saya gembira kerana buku yang saya kirim telah sampai. Saya sebenarnya terpaksa membayar RM75.90 untuk mengirim buku tersebut. Tentunya saya merasa begitu rugi jika buku itu tidak sampai, di samping kehilangan 7 buah buku itu.

Tuesday, February 12, 2008

Buku dari Banua

Seorang kenalan saya di Banua, Bapak Drs. Wajidi telah mengirimkan kepada saya 4 buah buku yang penting dan menarik: dua buah buku karangan beliau dan dua buah buku lain yang beliau menjadi salah seorang penyuntingnya, iaitu buku Sejarah Banjar dan Orang Banjar dan Kebudayaannya.

Kedua-dua buku tersebut bukan saja diterbitkan dengan teknik yang menarik, tetapi juga merupakan buku tebal. Sejarah Banjar cetakan ketiga (2007) dengan kulit keras tebalnya 1043 halaman, manakala Orang Banjar dan Kebudayaannya cetakan kedua (2007) tebalnya 551 halaman (tidak termasuk gambar).

Terima kasih kepada Bapak Drs. Wajidi yang telah mengirimkan buku tersebut.

Melawat Banua

Saya bercadang akan melawat Banua dari 9 hingga 15 Mac 2008 yang akan datang.

Selain menemui keluarga di Banjarbaru dan Barabai, saya harap akan dapat bertemu dengan beberapa orang kawan dan kenalan yang selama ini hanya berhubungan dengan saya melalui emel.

Maklumat tentang saya di Banua, termasuk tempat saya menginap nanti, boleh ditanyakan kepada kawan saya, Bapak Setia Budhi (dosen Unlam). No. telefon beliau 62-0811501067 (HP) dan 62-05114787267 (Rumah)

Friday, January 18, 2008

Lawatan ke Banua

Pada masa yang akhir-akhir ini nampaknya semakin ramai orang Banjar dari Malaysia yang berkunjung ke Banua atau ke Kalimantan Selatan (Kalsel). Tujuan utamanya tentulah untuk menemui keluarga di sana. Sebahagian daripada mereka, ada yang berkhabar melalui lawan web tertentu sebelum pergi ke sana, tetapi ada juga yang pergi "secara senyap-senyap" sahaja.

Adalah menarik juga bahawa dua orang daripada mereka yang melakukan lawatan ke Banua pada bulan November 2007 yang lalu telah memasukkan catatan lawatan mereka berserta dengan pelbagai gambar dalam laman web Ayuhak Bapander.

Kunjungan orang Banjar Malaysia ke Kalsel tentunya merupakan sesuatu yang alamiah, dan tentunya wajar dilakukan, kerana mereka masih mempunyai ramai saudara mara di sana. Dengan itu, perhubungan orang Banjar di Malaysia dengan orang Banjar di Banua bukan sahaja tidak terputus, malah dapat dipereratkan dari masa ke masa.

Bagaimanapun, di samping kunjungan yang bersifat kunjungan persendirian ini, mungkin sekali-kala elok juga orang Banjar dari Malaysia melakukan kunjungan secara berombongan dan mempunyai acara yang agak "rasmi", misalnya menemui tokoh-tokoh Banjar dan mengadakan perjumpaan dengan organisasi orang Banjar di Banua.

Kebetulan beberapa tahun yang lalu, Persatuan Banjar Malaysia (PBM), satu-satunya organisasi orang Banjar di Malaysia, pernah melakukan lawatan secara berombongan seperti itu. Kalau tidak salah, dalam kunjungan kali pertama, mereka telah disambut dan diraikan oleh Gabenor Kalsel. Dalam satu kunjungan yang lain pula, rombongan PBM dan ABIM pernah menyertai satu seminar tentang Syekh Muhammad Arsyad Al-Banjari di Kalsel.

Oleh yang demikian, jika PBM mahu menunjukkan ia masih hidup dan bernafas, adalah wajar sekali jika PBM menganjurkan lawatan berombongan ke Banua dalam waktu terdekat. Kalau PBM masih tidak ada projek besar, projek lawatan seperti itu tentulah mampu dilakukan oleh PBM, jika PBM masih ada kemahuan!

Monday, January 14, 2008

Begitukah sikap Banjar Malaysia?

Baru-baru ini telah berkunjung ke rumah saya seorang dosen muda keturunan Banjar yang berasal dari Kalsel. Dia datang ke Malaysia untuk mengikuti program Sarjana (S2) di Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dia masih mempunyai keluarga di Malaysia, antaranya di Setiawangsa,Kuala Lumpur, dan juga seorang menteri kerajaan Pusat yang pangkat sepupu kepadanya. Oleh itu, sesampainya dia ke Malaysia dia telah berkunjung dan bersilaturrahmi kepada keluarganya itu.

Akan tetapi, dia nampaknya mengalami pengalaman yang kurang menyenangkan. Dia merasa semacam tidak dipedulikan. Keluarganya itu mungkin menganggap dia sama seperti TKI yang datang dari Indonesia!

Sebagai seorang keturunan Banjar, saya merasa tersentuh dan merasa bersalah dengan pengalamannya yang tidak menyenangkan itu. Saya tertanya-tanya mengapa orang Banjar Malaysia melayan keluarganya yang datang dari Banua seperti itu?

Saya harap sikap seperti itu bukan merupakan sikap umum orang Banjar di Malaysia. Jika ada yang bersikap seperti itu memang saya sesali, tapi saya harap juga tidak menggambarkan sikap orang Banjar Malaysia pada keseluruhannya

Tuesday, November 6, 2007

Tradisi "madam" dalam budaya Banjar

Antara topik yang dibincangkan dalam Kongres Budaya Banjar 1 di Banjarmasin tempoh hari (30 Oktober hingga 1 November 2007) ialah tentang tradisi "madam" dalam budaya Banjar atau di kalangan orang Banjar.

"Madam" jelas merupakan satu bentuk migrasi di kalangan orang Banjar, seperti tradisi "merantau" di kalangan etnik Minangkabau.

Sebelum Perang Dunia Kedua dahulu banyak orang Banjar yang madam ke Semenanjung Malaysia dan ke Indragiri Hilir, di Sumatera. Banyak di antara mereka yang terus menetap di tempat tujuan mereka. Jadi madam pada masa itu nampaknya ialah "madam yang tidak pulang".

Kini sangat kurang sekali orang Banjar yang madam ke Semenanjung Malaysia. Akan tetapi, ini bukan bererti orang Banjar tidak lagi madam ke luar Kalsel. Cuma tempat tujuan mereka madam nampaknya sudah berubah.

Dalam satu makalah yang ditulis oleh Dr. Mohamed Salleh Lamry, mantan dosen UKM, dinyatakan bahawa tempat tujuan orang Banjar madam pada masa ini adalah seperti berikut:

a) Tempat yang tidak begitu jauh dengan Kalsel, seperti Kalteng, Kalbar, Kaltim. dan Pulau Jawa. Mereka madam ke Kalteng, Kalbar dan Kaltim terutamanya untuk mencari penghidupan yang lebih baik, manakala ke Pulau Jawa pula terutamanya untuk menuntut ilmu, di samping ada juga untuk bekerja.

b) Tempat yang lebih jauh sedikit, seperti Sabah dan Sarawak di Malaysia Timur. Mereka madam ke tempat yang lebih jauh ini terutamanya untuk mencari penghidupan yang lebih baik, antara lain dengan berniaga.

c) Tempat yang agak jauh, seperti Mekah dan Madinah. Kedua-dua tempat ini pula merupakan tempat untuk menuntut ilmu agama dan berniaga. Jika kita berkunjung ke Mekah misalnya kita akan berjumpa dengan wanita Banjar yang berjual makanan, tudung dan telekung bersulam, dan barang perhiasan (emas). Banyak juga pelajar lelaki dari Banjar yang bekerja sebagai mutawif pada musim umrah dan haji.

Tradisi madam orang Banjar ke Mekah dan Madinah mungkin paling menarik untuk dikaji, kerana walaupun Mekah dan Madinah agak jauh dari Kalsel, tetapi tradisi madam ke tempat itu, yang berkaitan dengan pengajian agama dan perniagaan, terus berlanjutan sehingga sekarang.

Thursday, November 1, 2007

Menulis buku "Orang Banjar di Malaysia"

Antara idea yang terlahir dari Kongres Budaya Banjar 1 di Banjarmasin (30 Oktober- 1November 2007) adalah tentang penulisan sejarah orang Banjar di perantauan, sama ada di Riau, Jawa, Malaysia dan tempat-temnpat lain. Idea ini diucapkan oleh perwakilan dari Riau, dan beliau bercadang untuk menulis buku tentang Orang Banjar di Riau.

Kebetulan sehingga kini belum ada buku tentang sejarah orang Banjar di Malaysia. Oleh itu idea ini saya kira wajar disambut juga oleh orang Banjar di Malaysia. Walaupun sudah terlambat, bagus sekali jika ada sesiapa orang Banjar di Malaysia yang menulis buku tentang orang Banjar di Malaysia pula.

Tidak lama dahulu memang ada berita bahawa salah seorang "orang besar PBM" sedang menulis buku tentang Orang Banjar di Johor. Akan tetapi buku tersebut rasanya belum terbit sehingga kini.

Sementara itu, yang kita perlukan ialah buku sejarah tentang perantauan orang Banjar ke Malaysia pada keseluruhannya. Kita perlukan buku tentang orang Banjar di Malaysia, khasnya di tempat yang banyak orang Banjar, iaitu di Perak, Selangor dan Johor, bukan di Johor sahaja.Siapa yang akan menulisnya?