Wednesday, October 31, 2007

Catatan ringkas tentang Kongres Budaya Banjar 1

Kongres Budaya Banjar 1 nampaknya telah berlangsung di Banjarmasin dari 30 Oktober hingga 1 November 2007 sebagaimana yang direncanakan. Tahniah. Kerana tidak dapat hadir, saya hanya dapat mengetahui perjalanan kongres itu dari jauh, dari laporan dalam beberapa laman web.

Oleh sebab sesi pembentangan makalah nampaknya hanya satu hari, pada 31 Oktober 2007, tidak banyak topik yang telah dibincangkan. Topik perbincangan terutamanya tertumpu kepada aspek-aspek bahasa dan sastera, arsitektur tradisional, masakan dan tradisi "madam" di kalangan orang Banjar. Tidak ada makalah dari Riau sebagaimana yang direncanakan (?) dan tidak ada juga makalah dari Malaysia.

Kongres itu nampaknya dihadiri oleh orang Banjar dari Kalsel dan luar Kalsel, termasuk dari Jawa, Sumatera, Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) dan Brunei. Akan tetapi, tidak diberitakan adanya peserta dari Semenanjung Malaysia.

Sebagai orang Banjar dari Semenanjung Malaysia, saya merasa terkilan juga kerana tidak ada (?) orang Banjar dari Semenanjung Malaysia yang menghadiri kongres itu. Saya tidak tahu adakah kerana yang diundang tidak ramai, dan kerana tidak ada orang Banjar Semenanjung Malaysia yang diundang untuk menyampaikan makalah?

Untuk makluman semua, pada masa ini orang keturunan Banjar di Semenanjung Malaysi adalah ramai (banyak), dan mereka bertumpu di tiga negeri: Perak, Selangor dan Johor. Sudah banyak orang Banjar di Semenanjung Malaysia kini yang menjadi pejabat tinggi, tokoh agama, ahli politik, ahli akademik dan usahawan.

Jadi alangkah baiknya jika hubungan orang Banjar di Semenanjung Malaysia dengan orang Banjar di Banua dapat dirapatkan, dan "tokoh" Banjar dari Semenanjung Malaysia dapat berpartisipasi dalam acara "ganal" seperti Kongres Budaya Banjar 1.

Monday, October 29, 2007

Wanita Banjarmasin diperkosa di Malaysia

Selama ini sangat sedikit dan sangat jarang wanita dari Banjarmasin datang bekerja di Malaysia. Di antara yang sedikit itu ialah Nor, yang dikatakan pada mulanya hendak bekerja di Surabaya, tetapi perjalanan nasib telah membawanya ke Malaysia. Dia dikatakan pernah bekerja di Batu Pahat, Johor.

Bagaimanapun, nasib Nor agak malang. Dia telah diperkosa oleh seorang anggota polis Malaysia. Polis Malaysia itu dikatakan telah ditangkap. Saya harap anggota polis itu akan dihukum mengikut proses hukum di Malaysia.

Akan tetapi, bagaimanakah nasib Nor selepas ini? Tentunya dia akan pulang ke Banjarmasin, ke pangkuan keluarganya, jika masih ada. Semoga hari esok masih ada untuknya.

Wednesday, October 17, 2007

Kongres Budaya Banjar 1

Nampaknya rasmi sudah bahawa Kongres Budaya Banjar 1 akan diadakan di Banjarmasin pada 30 Oktober hingga 1 November 2007 ini.

Dalam laporan Banjarmasin Post pada 23 Ogos 2007 yang lalu ada dinyatakan bahawa kongres ini akan bersifat internasional. "Tokoh adat Banjar" dari Malaysia dan Singapura dikatakan akan diundang menghadirinya.

Sehingga ini saya belum tahu siapa "tokoh adat Banjar" dari Malaysia yang telah diundang untuk menghadiri kongres itu. Saya menduga di antara mereka yang diundang mungkin "pemimpin" atau "tokoh" Persatuan Banjar Malaysia (PBM). (Maaf, jika dugaan ini tidak benar).

Saya ada menghantar satu dua posting dalam laman web Ayuhak Bepandir untuk memaklumkan tentang kongres berkenaan. Tapi respons daripada pelayar laman Ayuhak Bepandir nampaknya tidaklah begitu memberangsangkan. Ini barangkali kerana pemimpin PBM yang saya duga mendapat undangan untuk menghadiri kongres itu tidak pula mempelawa ahli-hli PBM untuk turut sama menghadirinya.

Saya kebetulan menerima surat undangan yang disampaikan oleh Sdr. ersa Fahriyanur melalui emel. Selain itu, Sdr. Taufik Arbain, dosen Unlam, juga ada memaklumkan kepada saya tentang kongres itu. Kepada mereka berdua saya ucapkan berbanyak terima kasih.

Thursday, October 11, 2007

Selamat "Idul Fitri"

Bersempena dengan "Idul Fitri" yang dijangka akan di sambut di Malaysia pada 13 Oktober 2007, saya ingin mengucapkan Selamat Idul Fitri kepada semua kulaan, sahabat dan kenalan di Banua dan di Malaysia. Mohon maaf lahir dan lahir.

Wednesday, September 12, 2007

Jika hubungan dengan penyelia bermasalah

Saya difahamkan salah satu sebab mengapa beberapa orang pelajar Banjar meninggalkan UKM adalah kerana hubungan mereka yang "bermasalah" dengan penyelia masing-masing.

Saya tidak tahu apa yang mereka lakukan sebelum meninggalkan UKM.

Akan tetapi, sekiranya hubungan mereka dengan penyelia bermasalah, hal itu sepatutnya mereka maklumkan kepada pihak berwenang yang lebih "tinggi", seperti Ketua Jabatan dan Dekan Fakulti.

Sekiranya mereka hanya mendiamkan diri, kemudian meninggalkan UKM, masalah yang timbul tentu tidak dapat diselesaikan. Dan adalah malang jika mereka merasa mereka adalah pihak yang telah dirugikan oleh sistem yang terpakai di UKM.

Saturday, September 8, 2007

Mengapa pelajar Banjar "meninggalkan" UKM?

Mengikut berita yang disampaikan kepada saya, ada beberapa orang mahasiswa Banjar dari Kalsel yang telah "meninggalkan" UKM, sebelum mereka menyelesaikan program mereka di universiti itu.

Sebagai seorang Banjar Malaysia yang ingin menggalakkan orang Banjar dari Kalsel beramai-ramai memasuki UKM, saya tentu tidak gembira dengan berita itu.

Namun, saya difahamkan antara sebab mereka meninggalkan UKM ialah kerana mereka tidak berpuas hati dengan cara penyeliaan pensyarah UKM yang menjadi pembimbing atau penyelia mereka.

Mungkin ada sebab lain. Akan tetapi, saya tidak dapat mengetahuinya, kerana tidak dapat menemui para pelajar Banjar yang berkenaan dan juga para pensyarah yang menjadi penyelia mereka.

Buat masa ini, jika para pelajar atau "bekas pelajar UKM" yang berkenaan ada terbaca posting saya ini, saya bergembira jika mereka sudi memberi respons di blog ini.

Mungkin dengan mendapat maklum balas daripada mereka, kita akan dapat mengetahui pokok permasalahannya dan seterusnya mencari jalan keluar yang menguntungkan kepada semua pihak.

Thursday, July 26, 2007

Keluarga sebelah Datuk sudah dikenali

Saya sudah berusaha mencari keluarga saya sebelah datuk (Andin Amin) di Kalsel sejak awal tahun 1990-an, antara lain dengan menyiarkan surat dalam ruangan Pembaca dalam akhbar Banjarmasin Post. Saya mendapat banyak respons daripada orang-orang Banjar di Kalsel, tetapi tidak ada respons daripada keluarga saya. Mungkin mereka tidak membacanya.

Baharu-baharu ini, setelah saya menyiarkan posting mencari keluarga dalam blog ini, tanpa saya duga, saya mendapat panggilan telefon daripada Barabai, daripada M.Ilmi , seorang ahli keluarga saya dari sebelah nenek (Aminah tb.Tasan). M.Ilmi cucu kepada Ningrat, anak aruah nenek saya dengan suaminya yang pertama. Saya juga cucu Aminah. Jadi saya dan M.Ilmi adalah pangkat sepupu. Sejak itu bersambunglah kembali hubungan persaudaraan antara kami yang terputus begitu lama.

M. Ilmi telah menghubungi saya dengan telefon sebanyak tiga kali. Di samping itu, kami juga beberapa kali berhubung melalui emel. Hanya nampaknya setakat ini kami belum dapat bertemu muka, kerana saya belum dapat pergi ke Banua Banjar.

Kebetulan M.Ilmi ada mempunyai adikk ipar, bernama H.Huzaifah yang mempunyai HP yang boleh digunakan untuk berhubung melalui emel. Jadi sehingga sekarang hubungan saya dengan keluarga di Kalsel adalah melalui emel dengan H.Huzaifah.

Saya telah meminta H.Huzaifah menolong mencarikan keluarga saya sebelah Datuk (Andin Amin) yang tinggal di Barabai atau kawasan sekitarnya Syukur alhamdillah, dalam masa yang tidak begitu lama, beliau telah dapat menolong mengesan keluarga saya sebelah Datuk

Mengikut ceritanya, Datuk saya Andin Amin ada mempunyai seorang anak lelaki bernama Ahmad Latif dengan isteri beliau yang pertama. Ahmad Latif telah meninggal dunia. Akan tetapi, Ahmad Latif ada mempunyai seorang anak lelaki yang masih hidup, bernama Syahruddin. Jadi Syahruddin juga pangkat sepupu kepada saya. Syahruddin telah menghubungi saya melalui telefon beberapa hari yang lalu.

H.Huzaifah juga telah menolong menemui saudara saya yang lain dari pihak Datuk saya, Andin Amin. Andin Amin sebenarnya ada mempunyai seorang kakak bernama Salamah. Salamah sudah lama meninggal dunia, tetapi seorang buyut (cicit) Salamah, bernama Hj.Rodinah sekarang ada di Banjarbaru, bekerja sebagai dosen Unlam. Hj.Rodinah ialah isteri H.Rasmadi, Rektor Unlam.

Saya telah dapat berhubung dengan H.Rodinah dengan telefon kira-kira dua minggu yang lalu.

Syukur alhamdullilah, sekarang keluarga saya sebelah Datuk yang saya cari sekian lama juga sudah dikenali. Saya berdoa semoga saya akan dapat berkunjung ke Banua dan bertemu dengan mereka tidak lama lagi.