Monday, September 29, 2014

Undangan memberi syarahan di Kuala Tungkal

Dua hari yang lalu, sebuah sekolah tinggi  (setaraf universiti) Islam di Kuala Tungkal telah mengundang saya untuk memberi satu syarahan sempena dengan hari Konvokesyen  sekolah tinggi itu pada 26 Oktober 2014. Saya begitu tersanjung dengan undangan itu, walaupun saya faham saya diundang kerana saya seorang ahli akademik Banjar dan sekolah tinggi Islam itu juga  adalah sebuah sekolah tinggi Islam yang dimiliki dan diuruskan oleh orang-orang Banjar.

Bagaimanapun, mengingatkan keadaan kesihatan saya yang tidak  begitu baik, saya dengan berat hati terpaksa menolak undangan itu, kerana rasanya saya tidak mampu untuk pergi ke  Kuala Tungkal yang  saya  rasakan agak jauh dari Malaysia.

Untuk pergi ke Kuala Tungkal, saya dikatakan mula-mula perlu pergi ke Batam, kemudian ke Jambi, dan lepas itu baru pergi ke Kuala Tungkal. Mungkin bagi orang lain tidak begitu jauh. Tapi saya rasakan jauh apabila saya hubungkan dengan kondisi kesihatan saya yang tidak begitu baik.


Monday, September 15, 2014

Keluarga dari Malaysia dan Kalsel saling berkunjung

Sejak saya berkunjung ke Kalsel pada tahun 2008, perhubungan saya dengan  keluarga di Kalsel boleh dikatakan telah rapat kembali.

Selepas itu saya berkunjung lagi ke Kalsel pada tahun 2009. Pada kali ini saya membawa adik sepupu dan saudara  mara yang lain seramai 20 orang.

Pada tahun 2011, saya berkunjung ke Kalsel seorang diri kerana menghadiri Kongres Budaya Banjar Ke-2. Kemudian pada bulan Mac tahun ini saya berkunjung lagi ke Kalsel bersama isteri saya.

Selepas kunjungan saya  ke Kalsel pada tahun 2011, abang sepupu saya Ali telah berkunjung ke Kalsel dengan beberapa orang adiknya pada tahun  2012. Kemudian pada tahun 2013 pula adik sepupu saya Harun berkunjung ke Kalsel  bersama isteri dan anak cucunya.

Di pihak keluarga saya di Kalsel pula telah berkunjung ke Malaysia sepupu saya Syahrudin dan Ilmi dengan isteri dan anak masing-masing.  Kemudian diikuti oleh Khadijah adik Syahrudin bersama suaminya dan seorang kawannya.

Yang terakhir ialah Hajah Rodinah bersama suaminya Prof. Rasmadi. Mereka berkunjung ke Malaysia menjelang puasa tahun 2014 ini.

Sebelum itu, Hajah Rodinah dua kali menjemput saya datang ke Kalsel untuk menghadiri majlis perkahwinan anaknya. Hanya malangnya saya tidak dapat pergi, kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.