Thursday, July 26, 2007

Keluarga sebelah Datuk sudah dikenali

Saya sudah berusaha mencari keluarga saya sebelah datuk (Andin Amin) di Kalsel sejak awal tahun 1990-an, antara lain dengan menyiarkan surat dalam ruangan Pembaca dalam akhbar Banjarmasin Post. Saya mendapat banyak respons daripada orang-orang Banjar di Kalsel, tetapi tidak ada respons daripada keluarga saya. Mungkin mereka tidak membacanya.

Baharu-baharu ini, setelah saya menyiarkan posting mencari keluarga dalam blog ini, tanpa saya duga, saya mendapat panggilan telefon daripada Barabai, daripada M.Ilmi , seorang ahli keluarga saya dari sebelah nenek (Aminah tb.Tasan). M.Ilmi cucu kepada Ningrat, anak aruah nenek saya dengan suaminya yang pertama. Saya juga cucu Aminah. Jadi saya dan M.Ilmi adalah pangkat sepupu. Sejak itu bersambunglah kembali hubungan persaudaraan antara kami yang terputus begitu lama.

M. Ilmi telah menghubungi saya dengan telefon sebanyak tiga kali. Di samping itu, kami juga beberapa kali berhubung melalui emel. Hanya nampaknya setakat ini kami belum dapat bertemu muka, kerana saya belum dapat pergi ke Banua Banjar.

Kebetulan M.Ilmi ada mempunyai adikk ipar, bernama H.Huzaifah yang mempunyai HP yang boleh digunakan untuk berhubung melalui emel. Jadi sehingga sekarang hubungan saya dengan keluarga di Kalsel adalah melalui emel dengan H.Huzaifah.

Saya telah meminta H.Huzaifah menolong mencarikan keluarga saya sebelah Datuk (Andin Amin) yang tinggal di Barabai atau kawasan sekitarnya Syukur alhamdillah, dalam masa yang tidak begitu lama, beliau telah dapat menolong mengesan keluarga saya sebelah Datuk

Mengikut ceritanya, Datuk saya Andin Amin ada mempunyai seorang anak lelaki bernama Ahmad Latif dengan isteri beliau yang pertama. Ahmad Latif telah meninggal dunia. Akan tetapi, Ahmad Latif ada mempunyai seorang anak lelaki yang masih hidup, bernama Syahruddin. Jadi Syahruddin juga pangkat sepupu kepada saya. Syahruddin telah menghubungi saya melalui telefon beberapa hari yang lalu.

H.Huzaifah juga telah menolong menemui saudara saya yang lain dari pihak Datuk saya, Andin Amin. Andin Amin sebenarnya ada mempunyai seorang kakak bernama Salamah. Salamah sudah lama meninggal dunia, tetapi seorang buyut (cicit) Salamah, bernama Hj.Rodinah sekarang ada di Banjarbaru, bekerja sebagai dosen Unlam. Hj.Rodinah ialah isteri H.Rasmadi, Rektor Unlam.

Saya telah dapat berhubung dengan H.Rodinah dengan telefon kira-kira dua minggu yang lalu.

Syukur alhamdullilah, sekarang keluarga saya sebelah Datuk yang saya cari sekian lama juga sudah dikenali. Saya berdoa semoga saya akan dapat berkunjung ke Banua dan bertemu dengan mereka tidak lama lagi.

Thursday, July 12, 2007

Nasib sebuah kertas kerja

Saya bercadang akan menghadiri Konferensi Antaruniversiti Se Borneo Kalimantan Ke-3 yang diadakan di Banjarmasin dari 16-17 Jun 2007. Oleh itu, saya telah menulis sebuah kertas kerja yang bertajuk "Asal Usul Orang Banjar dan Dayak dan Perhubungan Di antara Mereka" untuk dibentangkan dalam konferensi itu.

Kerana beberapa halangan, saya tidak jadi menghadiri konferensi itu. Bagaimanapun, saya telah meminta panitia di Unlam yang menjadi sekretariat bersama konferensi itu supaya memperbanyak (membuat 20 kopi) kertas kerja saya untuk diedarkan kepada para peserta konferensi. Dan saya juga telah meminta sahabat saya, seorang pensyarah Unlam untuk membentangkan kertas kerja itu bagi pihak saya.

Malangnya, apabila tiba hari konferensi, panitia berkenaan tidak memperbanyak kertas kerja saya sebagaimana yang dijanjikannya, dan kertas kerja itu tidak dapat diedarkan kepada para peserta konferensi itu. Berikutan dengan itu kertas kerja saya juga tidak jadi dibentangkan. Alangkah kecewanya saya!

Saya merasa gembira sedikit, apabila diberitahu oleh Sdr.Taufik Arbain, bahawa kertas kerja saya itu telah diperbanyaknya dan diedarkan sebagai makalah lepas dalam Semiloka yang diadakan di Banjarmasin pada 22-24 Jun 2007.

Bagaimanapun, saya baru sahaja mendapat emel dari sekretariat Konferensi Antaruniversiti Se Borneo Kalimantan Ke-3 bahawa kertas kerja yang tidak dibentangkan dalam konferensi itu tidak akan diterbitkan dalam buku prosiding yang dijangka akan diterbitkan pada Disember 2007.

Sekali lagi saya merasa kecewa.Tapi begitulah nasib sebuah kertas kerja!

Sunday, July 8, 2007

Tempat Belajar Islam di Malaysia

Sebagaimana yang saya nyatakan dalam posting terdahulu, pada masa ini ada 11 orang mahasiswa pascasarjana dari Kalsel (rasanya semua orang Banjar) yang sedang mengikuti program S2 dan S3 di UKM, kebanyakannya di Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Pendidikan.

Sebelum ini ada beberapa orang pelajar Banjar yang mengikuti program yang sama di Fakulti Pengajian Islam UKM telah lulus dan telah pulang ke Kalsel. Akan tetapi, saya tidak tahu berapakah bilangan mereka.

Saya berpendapat, mahasiswa Banjar yang berkenaan memang telah memilih tempat yang tepat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Islam. Memang di Malaysia ada tempat lain untuk belajar ilmu Islam, seperti Akademi Pengajian Islam (Universiti Malaya)UIA dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang dahulunya bernama Kolej Universiti Islam Malaysia. Namun, Fakulti Pengajian Islam UKM sudah terkenal sejak lama (sejak awal tahun 1970-an), dan sudah menjadi tumpuan pelajar dari Jawa, Acheh, Sumut, Riau dan lain-lain.

Oleh itu, pelajar dari Kalsel yang ingin mempelajari ilmu-ilmu Islam tentu boleh datang beramai-ramai ke Fakulti Pengajian Islam UKM pada masa yang akan datang.

Friday, July 6, 2007

Mahasiswa Banjar di UKM

Mengikut maklumat terakhir, pada masa ini ada 11 orang mahasiswa pascasarjana Banjar (dari Kalsel) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Jumlahnya belum begitu ramai, tapi mungkin akan bertambah dari masa ke masa. Kebanyakannya mengikuti program S2 atau S3 di Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Pendidikan. Ada juga di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Fakulti Undang-Undang, tetapi tidak ramai.

Sebahagian daripada mereka mungkin mengalami masalah kewangan. Akan tetapi, nampaknya mereka boleh mengatasi masalah ini dengan membuat kerja sambilan. Kerja sambilan yang mereka lakukan terutamanya ialah mengajar mengaji Quran kepada anak-anak orang kelas menengah di Bandar Baru Bangi dan kawasan sekitarnya.

Sebenarnya menjadi guru mengaji Quran adalah satu pekerjaan sambilan yang mempunyai permintaan yang agak tinggi di bandar-bandar di Malaysia. Banyak juga ustaz-ustaz dari Indonesia yang boleh hidup dengan agak selesa di Malaysia dengan membuat pekerjaan ini.

Bagus juga pelajar Banjar di UKM menggunakan kesempatan yang baik ini.