Thursday, July 12, 2007

Nasib sebuah kertas kerja

Saya bercadang akan menghadiri Konferensi Antaruniversiti Se Borneo Kalimantan Ke-3 yang diadakan di Banjarmasin dari 16-17 Jun 2007. Oleh itu, saya telah menulis sebuah kertas kerja yang bertajuk "Asal Usul Orang Banjar dan Dayak dan Perhubungan Di antara Mereka" untuk dibentangkan dalam konferensi itu.

Kerana beberapa halangan, saya tidak jadi menghadiri konferensi itu. Bagaimanapun, saya telah meminta panitia di Unlam yang menjadi sekretariat bersama konferensi itu supaya memperbanyak (membuat 20 kopi) kertas kerja saya untuk diedarkan kepada para peserta konferensi. Dan saya juga telah meminta sahabat saya, seorang pensyarah Unlam untuk membentangkan kertas kerja itu bagi pihak saya.

Malangnya, apabila tiba hari konferensi, panitia berkenaan tidak memperbanyak kertas kerja saya sebagaimana yang dijanjikannya, dan kertas kerja itu tidak dapat diedarkan kepada para peserta konferensi itu. Berikutan dengan itu kertas kerja saya juga tidak jadi dibentangkan. Alangkah kecewanya saya!

Saya merasa gembira sedikit, apabila diberitahu oleh Sdr.Taufik Arbain, bahawa kertas kerja saya itu telah diperbanyaknya dan diedarkan sebagai makalah lepas dalam Semiloka yang diadakan di Banjarmasin pada 22-24 Jun 2007.

Bagaimanapun, saya baru sahaja mendapat emel dari sekretariat Konferensi Antaruniversiti Se Borneo Kalimantan Ke-3 bahawa kertas kerja yang tidak dibentangkan dalam konferensi itu tidak akan diterbitkan dalam buku prosiding yang dijangka akan diterbitkan pada Disember 2007.

Sekali lagi saya merasa kecewa.Tapi begitulah nasib sebuah kertas kerja!

No comments: