Wednesday, October 31, 2007

Catatan ringkas tentang Kongres Budaya Banjar 1

Kongres Budaya Banjar 1 nampaknya telah berlangsung di Banjarmasin dari 30 Oktober hingga 1 November 2007 sebagaimana yang direncanakan. Tahniah. Kerana tidak dapat hadir, saya hanya dapat mengetahui perjalanan kongres itu dari jauh, dari laporan dalam beberapa laman web.

Oleh sebab sesi pembentangan makalah nampaknya hanya satu hari, pada 31 Oktober 2007, tidak banyak topik yang telah dibincangkan. Topik perbincangan terutamanya tertumpu kepada aspek-aspek bahasa dan sastera, arsitektur tradisional, masakan dan tradisi "madam" di kalangan orang Banjar. Tidak ada makalah dari Riau sebagaimana yang direncanakan (?) dan tidak ada juga makalah dari Malaysia.

Kongres itu nampaknya dihadiri oleh orang Banjar dari Kalsel dan luar Kalsel, termasuk dari Jawa, Sumatera, Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) dan Brunei. Akan tetapi, tidak diberitakan adanya peserta dari Semenanjung Malaysia.

Sebagai orang Banjar dari Semenanjung Malaysia, saya merasa terkilan juga kerana tidak ada (?) orang Banjar dari Semenanjung Malaysia yang menghadiri kongres itu. Saya tidak tahu adakah kerana yang diundang tidak ramai, dan kerana tidak ada orang Banjar Semenanjung Malaysia yang diundang untuk menyampaikan makalah?

Untuk makluman semua, pada masa ini orang keturunan Banjar di Semenanjung Malaysi adalah ramai (banyak), dan mereka bertumpu di tiga negeri: Perak, Selangor dan Johor. Sudah banyak orang Banjar di Semenanjung Malaysia kini yang menjadi pejabat tinggi, tokoh agama, ahli politik, ahli akademik dan usahawan.

Jadi alangkah baiknya jika hubungan orang Banjar di Semenanjung Malaysia dengan orang Banjar di Banua dapat dirapatkan, dan "tokoh" Banjar dari Semenanjung Malaysia dapat berpartisipasi dalam acara "ganal" seperti Kongres Budaya Banjar 1.

Monday, October 29, 2007

Wanita Banjarmasin diperkosa di Malaysia

Selama ini sangat sedikit dan sangat jarang wanita dari Banjarmasin datang bekerja di Malaysia. Di antara yang sedikit itu ialah Nor, yang dikatakan pada mulanya hendak bekerja di Surabaya, tetapi perjalanan nasib telah membawanya ke Malaysia. Dia dikatakan pernah bekerja di Batu Pahat, Johor.

Bagaimanapun, nasib Nor agak malang. Dia telah diperkosa oleh seorang anggota polis Malaysia. Polis Malaysia itu dikatakan telah ditangkap. Saya harap anggota polis itu akan dihukum mengikut proses hukum di Malaysia.

Akan tetapi, bagaimanakah nasib Nor selepas ini? Tentunya dia akan pulang ke Banjarmasin, ke pangkuan keluarganya, jika masih ada. Semoga hari esok masih ada untuknya.

Wednesday, October 17, 2007

Kongres Budaya Banjar 1

Nampaknya rasmi sudah bahawa Kongres Budaya Banjar 1 akan diadakan di Banjarmasin pada 30 Oktober hingga 1 November 2007 ini.

Dalam laporan Banjarmasin Post pada 23 Ogos 2007 yang lalu ada dinyatakan bahawa kongres ini akan bersifat internasional. "Tokoh adat Banjar" dari Malaysia dan Singapura dikatakan akan diundang menghadirinya.

Sehingga ini saya belum tahu siapa "tokoh adat Banjar" dari Malaysia yang telah diundang untuk menghadiri kongres itu. Saya menduga di antara mereka yang diundang mungkin "pemimpin" atau "tokoh" Persatuan Banjar Malaysia (PBM). (Maaf, jika dugaan ini tidak benar).

Saya ada menghantar satu dua posting dalam laman web Ayuhak Bepandir untuk memaklumkan tentang kongres berkenaan. Tapi respons daripada pelayar laman Ayuhak Bepandir nampaknya tidaklah begitu memberangsangkan. Ini barangkali kerana pemimpin PBM yang saya duga mendapat undangan untuk menghadiri kongres itu tidak pula mempelawa ahli-hli PBM untuk turut sama menghadirinya.

Saya kebetulan menerima surat undangan yang disampaikan oleh Sdr. ersa Fahriyanur melalui emel. Selain itu, Sdr. Taufik Arbain, dosen Unlam, juga ada memaklumkan kepada saya tentang kongres itu. Kepada mereka berdua saya ucapkan berbanyak terima kasih.

Thursday, October 11, 2007

Selamat "Idul Fitri"

Bersempena dengan "Idul Fitri" yang dijangka akan di sambut di Malaysia pada 13 Oktober 2007, saya ingin mengucapkan Selamat Idul Fitri kepada semua kulaan, sahabat dan kenalan di Banua dan di Malaysia. Mohon maaf lahir dan lahir.