Sunday, November 2, 2014

Orang Banjar Malaysia merindui Banua Banjar

Biasanya rombongan orang-orang yang datang dari Banua (Kalsel) memang mendapat sambutan yang meriah dan mesra dari kalangan orang-orang Banjar di Malaysia.

Namun, rombongan terbaru dari Banjarmasin yang diketuai oleh Pak Samad dan Pak Ary  mungkin mendapat sambutan  yang paling  meriah. Mereka telah disambut dan dialu-alukan di Batu Melintang (Neger Sembilan), di Bagan Serai dan  di Sungai Manik (Perak) di Johor dan di Singapura, dan  di beberapa tempat yang lain juga.

Sambutan yang begitu meriah daripada orang-orang Banjar di Malaysia ini  saya kira membayangkan  bahawa  orang-orang Banjar di Malaysia  begitu merindui Banua Banjar yang merupakan tempat asal datuk nenek mereka, dan  timbul dari hasrat untuk merapatkan kembali hubungan dengan saudara mara mereka di Banua Banjar.

Apatah lagi banyak daripada mereka yang telah putus hubungan dengan kaum keluarga mereka di Banua Banjar. Mereka ingin menyambung kembali hubungan persaudaraan itu, tetapi tidak tahu bagaimana cara  atau jalannya, kerana  telah  kehilangan jejak saudara mara mereka di sana.

Oleh yang demikian, memang sangat diharapkan agar  rombongan terakhir dari Banua Banjar ini  akan  dapat menolong dan menjadi penghubung antara orang-orang Banjar di Malaysia dengn orang-orang Banjar di Kalsel.