Thursday, May 31, 2007

Bila Semiloka di Banjarmasin?

Saya mula-mula mengetahui tentang Semiloka ( Seminar dan Lokakarya?) di atas dari tulisan Sdr. Taufik Arbain dalam blog "Kerajaan Banjar". Katanya semiloka itu akan diadakan pada akhir bulan Mei 2007.

Bagaimanapun, apabila saya dapat berhubung dengan Sdr. Taufik Arbain melalui emel selepas itu, beliau memaklumkan Semiloka itu akan diadakan pada pertengahan bulan Jun 2007 pula. Akan tetapi, sehingga ini saya belum mendapat jawapan daripada beliau bilakah tarikhnya yang pasti.

Saya berminat menulis suatu makalah untuk Semiloka itu, walaupun barangkali saya tidak dapat hadir. Bagaimanapun, oleh kerana tarikh yang pasti bilakah Semiloka itu akan diadakan tidak saya ketahui, rancangan menulis makalah ini terpaksalah saya tangguhkan dahulu.

Tambang lebih mahal musim cuti sekolah

Kira-kira sebulan yang lalu saya memberi tahu seorang kenalan saya, seorang pelajar pascasarjana yang berasal dari Banjarmasin bahawa saya akan ke Banjarmasin pada pertengahan bulan Jun 2007 ini untuk menghadiri suatu konferensi.

Beliau memberitahu saya bahawa pertengahan Jun mungkin musim cuti sekolah di Indonesia. Dan pada masa itu tambang kapal terbang dalam negeri akan lebih mahal dari biasa.

Dua hari yang lalu, saya menerima emel dari seorang kenalan saya di Banjarmasin bahawa pada pertengahan bulan Jun itu memang musim cuti sekolah, dan tambang kapal terbang akan mahal sedikit daripada biasa.

Saya tentunya tidak ada pilihan. Saya terpaksa menanggung tambang yang lebih tinggi jika ingin pergi ke Banjarmasin pada masa itu, kerana memang begitulah cara yang terpakai di negara itu.

Friday, May 25, 2007

Mencari keluarga di Kandangan

Datuk saya, Andin Amin bin Andin Tarif berasal dari Barabai, tetapi kampung asalnya tidak saya ketahui.Nenek saya, Aminah binti Tasan pula berasal dari Kandangan, dan kampung asalnya dikatakan Pajukungan.

Sebelum berhijrah ke Malaysia, nenek saya meninggalkan seorang anak perempuan bernama Ningrat, hasil dari perkahwinan dengan suaminya yang pertama.

Mereka berhijrah ke Malaysia, mula-mula ke Batu Pahat, Johor kemudian ke daerah Kuala Selangor , Selangor pada tahun 1930-an. Mereka tidak pernah pulang ke Banjar dan telah putus hubungan dengan keluarga mereka di sana.

Saya mula mencari keluarga pada akhir tahun 1980-an; mula-mula memasukkan surat dalam majalah Tempo, kemudian surat khabar Banjarmasin Post. Saya dapat beberapa respons daripada beberapa orang di Banjarmasin, tetapi bukan keluarga saya. Dari keluarga saya, jika masih ada, saya tidak mendapat apa-apa respons.

Baharu-baharu ini seorang kenalan baru yang berasal dari Kandangan telah menolong mencarikan keluarga saya di Kandangan/Barabai.

Saya mendapat maklumat bahawa anak perempuan nenek saya yang bernama Ningrat itu masih boleh diingati oleh penduduk Pajukungan, kerana dia adalah satu-satunya orang bernama Ningrat di kampung itu. Ningrat sudah meninggal dunia, tetapi cucunya ada di kampung itu. Siapakah beliau?

Saya berharap jika cucu Ningrat atau sesiapa yang terbaca posting ini sudilah menghubungi saya di alamat emel: harat1942@yahoo.com, atau nombor telefon 603-87362542

Thursday, May 24, 2007

Tempat menginap di Banjarmasin

Urusetia Konferensi Antaruniversiti Se Borneo-Kalimantan Ke-3 mencadangkan peserta konferensi itu menginap di Hotel Jelita, Banjarmasin antara 15-17 Jun 2007 nanti.

Hotel itu dikatakan bersebelahan dengan Mega Mall dan tidak jauh dari hospital, di samping sewanya tidak begitu mahal. Mungkin itu pertimbangan urusetia mengapa hotel itu dipilih sebagai tempat penginapan peserta.

Adakah sesiapa kulaan di Banjar atau di Malaysia yang boleh memberi pandangan tentang kesesuaian hotel itu?

Monday, May 21, 2007

Mujur ada orang Banjar

Sebagaimana yang kita tahu, orang Banjar di Malaysia telah terlibat dengan pergaduhan yang serius dengan orang Cina pada tahun 1945, iaitu selepas berakhirnya pendudukan Jepun di negara ini.

Pada masa itu orang Cina yang diwakili oleh "Bintang Tiga" (MPAJA atau tentera Parti Komunis Malaya) telah "memerintah" selama 14 hari, dan telah melakukan pelbagai kezaliman terhadap "orang Melayu" (termasuk orang Banjar) yang mereka anggap sebagai tali barut Jepun.

Orang Cina melakukan kezaliman itu di pelbagai tempat, di banyak tempat. Akan tetapi. di Batu Pahat (Johor) dan Sungai Manik (Perak) di mana banyak orang Banjar, orang Banjar telah bertindak balas dengan melakukan "perang sabil" terhadap orang Cina.

Saya tidak tahu adakah orang Banjar berbuat demikian kerana mereka yang paling teruk dizalimi, ataupun kerana sifat orang Banjar yang berani menegakkan kebenaran, dan tidak akan membiarkan diri dan keluarga mereka dizalimi oleh bangsa lain.

Bagaimanapun, tindakan orang Banjar itu wajar dipuji. Mereka sudah bertindak dengan sewajarnya terhadap pihak yang telah melakukan kezaliman terhadap "bangsa Melayu".

Dalam peristiwa di Batu Pahat dan Sungai Manik itu mujurlah ada orang Banjar yang telah menebus maruah bangsa Melayu dengan bertindak balas terhadap orang Cina yang melakukan kezaliman itu. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi jika di tempat itu tidak ada orang Banjar!

Friday, May 18, 2007

Perang Sungai Manik

Ketika banyak orang kini memperkatakan Peristiwa 13 Mei dengan terbitnya buku Dr.Kua Kia Soong, May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969, saya teringat kepada Perang Sungai Manik, iaitu "perang" antara orang Cina dengan orang Banjar pada tahun 1945. Perang itu berlaku di Sungai Manik dan sekitarnya, di negeri Perak, Malaysia.

Dari segi jumlah orang yang terkorban dalam pergaduhan perkauman itu, Perang Sungai Manik mungkin lebih besar dan lebih hebat daripada Peristiwa 13 Mei.

Cerita tentang Perang Sungai Manik ini dalam bahasa Banjar telah ditulis oleh Nila Sakunta dan Busu Acil dalam website Ayuhak Bapander pada tahun 2006 yang lalu. Cuma bahasa Banjar yang mereka gunakan agak "pekat" dan mungkin agak asli Banjar. Jadi susah juga untuk difahami.

Bagaimanapun, sebagai catatan ringkas bolehlah dinyatakan di sini bahawa pergaduhan antara orang Banjar dan orang Cina di Sungai Manik itu berlaku, kerana provokasi dan tindakan keterlaluan yang dilakukan lebih dahulu oleh orang Cina, seperti juga yang berlaku di Batu Pahat dan tempat lain.

Orang Banjar bertindak balas untuk mempertahankan maruah dan malah harta benda mereka. Ini perang yang dipaksakan oleh orang Cina ke atas orang Banjar. Mungkin banyak juga orang Cina yang terkorban dalam peperangan itu. Tapi itu adalah harga yang patut mereka bayar kerana kesalahan mereka.

Thursday, May 10, 2007

Studi Islam di UUM?

Beberapa tahun yang lalu, Dr.Nordin Kardi, Naib Canselor (Rektor) Universiti Utara Malaysia (UUM), seorang keturunan Banjar, berkunjung ke Banjarmasin. Dalam kunjungan itu beliau telah mengadakan MOU dengan beberapa pusat pengajian tinggi di sana, mungkin termasuk UNLAM dan IAIN.

Kunjungan Dr.Nordin khabarnya memang sangat dialu-alukan oleh orang Banjardi Kalsel, kerana kebetulan beliau ialah orang besar sebuah universiti dari keturunan Banjar.


Selepas itu, saya lihat ada beberapa orang pensyarah dari IAIN mengikuti program Ph.D (
S3) di UUM .Sebahagian daripada mereka saya lihat ialah orang-orang yang sudah "ada nama" sebagai peneliti dan penulis yang sering menulis di Banjarmasin Post dan penerbitan lain.


Di sini saya tidak mahu mempertikaikan kemampuan segelintir "pakar Islam" di UUM untuk membimbing para pelajar pascasarjana (calon Ph.D) dari Kalsel itu. Mungkin mereka ada kemampuan. Jadi teruskanlah.

Tapi untuk makluman saudara-saudara kita di Banjarmasin, mengikut persepsi kami orang Malaysia, UUM bukanlah tempat yang paling cocok untuk studi Islam, apatah lagi tingkat S3. UUM sebenarnya sudah terkenal sebagai universiti yang memberi tumpuan kepada bidang-bidang pangajian yang berkaitan dengan kewangan, banking dan pengurusan. Misalnya di UUM ada Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Pengurusan Awam dan Undang-Undang, Pengurusan Perniagaan, Pengurusan Teknologi, Akauntan, Teknologi Informasi dan sebagainya. Di UUM tidak ada Fakulti Pengajian Islam!

Oleh itu jika hendak studi tentang Islam, tempat yang sesuai di Malaysia ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (ada Faktulti Pengajian Islam), Universiti Malaya (ada Akademi Pengajian Islam) dan UIA. Atau boleh juga ke universiti baru, seperti KUIM, yang juga ada pakar Islam.

Begitu juga jika mahu studi ilmu sosial dan politik ( atau di Malaysia istilah yang lebih lazim digunakan ialah sains sosial dan kemanusiaan) tempatnya juga ialah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia. Atau mungkin boleh juga ke Universiti Putera Malaysia untuk bidang tertentu.

Untuk makluman saudara-saudara kita di Kalsel, pada masa ini Universiti Kebangsaan Malaysia adalah univeriti yang paling banyak mengendalikan kursus pascasarjana untuk pelajar asing. Pelajar dari Indonesia sahaja -- dari Jawa, Riau,Sumut, Acheh dll, -- kini lebih 500 orang, sehingga kini di beberapa pangsapuri dan taman perumahan sudah terbentuk "perkampungan pelajar Indonesia".

Wednesday, May 9, 2007

Jurnal Kebudayaan KANDIL

Jurnal Kebudayaan KANDIL ialah jurnal yang banyak memuatkan makalah tentang Kebudayaan Banjar, dan barangkali memang dimaksudkan sebagai wadah perbincangan tentang Kebudayaan Banjar.

Ia diterbitkan oleh Lembaga Kajian Keislaman dan Kemasyarakatan (LK-3) yang berpusat di Banjarmasin, Kalsel.

Saya mengetahui tentang Jurnal ini secara kebetulan sahaja. Saya dapat membeli beberapa keluaran Jurnal ini atas pertolongan seorang pensyarah UNLAM yang kini sedang mengikuti Program Ph.D di UKM.

Setakat ini keluaran Ogos-Oktober 2004 (Edisi 6, tahun II) adalah antara yang paling menarik.Ia antara lain memuatkan makalah berikut:

1. Urang Banjar: Identitas dan Etnisitas di Kalimantan Selatan
Oleh Marko Mahin
2. Islam Banjar: Menguatkan Lokal dan Merespon Global
Oleh Riza Bahtiar
3. Ritual "Basunat": Islam dan Budaya Lokal dalam Upacara Khitan Muslim Banjar
Oleh Noorhaidi Hasan
4. Islam dan Universum-Simbolik Urang Banjar
Oleh Irfan Noor
5. Islam dan Asal-Usul Masyarakat Banjar
Oleh Alfani Daud

Asal Perkataan Banjar

Dari manakah asalnya perkataan Banjar? Barangkali rujukan yang baik ialah buku Idwar Saleh, Sekilas Mengenai Daerah Banjar dan Kebudayaan Sungainya Sampai dengan Akhir Abad-19.

Mengikut Idwar Saleh (1986: 10):

Kata Banjar berasal dari kata Banjarmasih. Banjarmasih adalah nama suatu kampung di muara sungai Kuyin, sebuah anak sungai Barito... Di namakan Banjarmasih sebab daerah Banjar ini diperintah Patih Masih...Patih Masih tak lain dari patih yang memerintah orang-orang Melayu. Banjarmasih tak lain daripada kampung Oloh Masih atau kampung Melayu yang terletak antara kampung Oloh Ngaju yang menggunakan bahasa Brangas di sekitar muara sungai Kuyin.

Kota Banjarmasih ini lambat laun berubah menjadi Banjarmasin. Perubahan-perubahan resmi ini diakibatkan oleh catatan resmi Belanda.Dalam tahun 1664 nama Banjarmasih dipakai Belanda, seperti:
Pangeran Suryanata in Banjarmasch (masih)...
Pangeran Ratu in Banjarmasch (masih)...
Prince in Banjarmasch dan sebagainya.

Dalam tahun 1733 kota ini sudah berubah menjadi Bandjermasing dan menjadi Banjarmasin tahun 1845.

Kata banjar lambat laun tidak lagi berarti kampung, tetapi menjadi sebutan untuk menyatakan identitas suatu negeri, bahasa, kerajaan, suku, orang dan sebagainya, yang mula-mula terdapat di daerah ini. Suku Banjar -- asal bermula di hulu aliran sungai Tabalong, di atas Negara Dipa. Ras memperkirakan Tanjung Puri yang terdapat di sekitar Tanjung ini adalah koloni orang Melayu dari zaman awal Sriwijaya. Di daerah ini terjadi perpaduan jenis antara orang-orang Melayu, Suku Maanyan, Lawangan dan Dayak Bukit.

Monday, May 7, 2007

Sajak: Aku Urang Banjar

Kira-kira tujuh tahun yang lalu, pada 25 Februari 2000, saya telah memasukkan sebuah sajak dalam bahasa Banjar, bertajuk Aku Urang Banjar dengan nama samaran Andin dalam website Ayuhak Bepandir (AB). Ini mungkin antara sajak Banjar saya yang paling berhasil. Sajak ini pernah dimuatkan dalam buletin Kayuh Baimbai, tapi saya lupa tarikhnya.

Setelah saya baiki sedikit, sajak ini saya masukkan lagi dalam AB setahun dua kemudian. Pada kali ini saya memakan nama samaran Andin Salleh.

Mungkin sajak yang tersiar buat kali kedua dalam AB ini telah menarik perhatian moderator website Banjar Sungai Manik dan telah disiarkan dalam website tersebut.

Setelah tersiar dalam website Banjar Sg.Manik, sajak ini disiarkan pula oleh website yang lain , iaitu http://pergh.com/forum/index.php?topic=8374.0 dengan mendapat komen daripada ramai pelayar.

Untuk makluman pembaca yang belum melihat sajak tersebut, saya turunkan kembali sajak itu di bawah ini.

AKU URANG BANJAR
Oleh: Andin Salleh

Wayah aku aanuman
aku kada tahu
kanapa kakadang
aku merasa supan
mengaku urang Banjar.

Amun aku tulak ka pakan
aku musti basurah Malayu
supaya urang kada tahu
aku urang Banjar.

Mungkin wayahitu
Banjar kada ditiring urang
karna Banjar urang pendatang
kabisaan pun hanya bagawi di bandang.

Wayahini aku kada supan lagi
mengaku aku urang Banjar
karna aku sadar
nilai manusia nang hakiki
bukan pada bangsa dan gawian
tapi pada keimanan dan ketakwaan.

Aku bangga jadi urang Banjar
karna Banjar identik awan Islam
dan banyak melahirkan ulama basar.