Saturday, January 24, 2009

Mencari buku Sejarah Orang Banjar di Langkat dan Deli

Mengikut laporan akhbar Sinar Indonesia Baru, 1 Julai 2007, ketika Gabenur Kalsel melawat Langkat pada Jun 2007 dahulu, sebuah buku mengenai sejarah orang Banjar di Langkat dan Deli telah dipersembahkan kepada beliau.

Tajuk atau judul buku itu tidak dinyatakan, dan saya tidak tahu adakah buku itu ada dijual di mana-mana kedai buku.

Ketika saya berkunjung ke Medan baru-baru ini (17 dan 18 Janauri 2009), saya cuba mencarinya di toko buku Gramedia, tapi pekerja toko buku itu tidak mengetahuinya.

Bagi orang yang berminat untuk mengetahui sejarah dan keberadaan orang Banjar di Sumut seperti saya, buku itu tentu saja penting saya perolehi.

Jadi adakah sesiapa yang boleh membantu saya untuk mendapatkan buku tersebut? Adakah buku tersebut masih ada dan boleh saya beli di mana-mana?

Saya boleh dihubungi di alamat berikut : emel: el.salleh@gmail.com. Tel. +6012-9331545)

Wednesday, January 7, 2009

Surat Tasrin Wijaya (tentang orang Banjar Sumut)

Pada bulan November 1997saya menerima surat daripada Tasrin Wijaya yang beralamat Jalan Muhajir No.100, Kelurahan Belawan Bahagia, Kecamatan Medan Kota Belawan, 20412 Kodya Medan.

Dia seorang Jawa, tetapi beristeri orang Banjar. Dia bekerja sebagai pegawai sebuah perusahaan swasta yang bergerak dalam bidang import-eksport di Pelabuhan Belawan. Dia juga banyak bergerak dan berperan secara aktif dalam kegiatan kemasyarakatan, antaranya agaknya dalam Lembaga Kebudayaan Swadiri Indonesia (LAKSWI).

Ayah mertuanya katanya berasal dari Barabai dan telah meninggal dunia.Semasa hidupnya ayah mertuanya adalah seorang guru agama yang terkenal dan mempunyai murid yang ramai dari kalangan orang Banjar di Sumut.

Dalam suratnya yang bertarik 13 November 1997, dia banyak memberi informasi tentang orang Banjar di Sumut. Antaranya:

1. Kebanyakan orang Banjar di Sumut berasal dari Barabai dan Kandangan.
2. Mereka tinggal secara berkelompok di daerah pantai dengn mata pencarian kebanyakannya sebagai petani.
3. Desa atau kecamatan yang banyak terdapat suku Banjar, yang berdekatan dengan Medan Kota Belawan adalah seperti berikut:
a)Kecamatan Karang Gading
b)Desa Telaga Tujuh
c) Desa Paloh Makna
d) Desa Paloh Kurau (Batang Serai)
e) Kecamatan Hamparan Perak ( di setiap desa dan kecamatan tersebut ada kira-kira 75 persen orang suku Banjar).

Di kawasan lain di luar kota Medan (sekitar 35 - 40 km dari Medan), kawasan yang juga banyak orang Banjar ialah:

a) Kecamatan Pantai Cermin
b) Kecamatan Perbaungan ( dalam Kabupaten Deli Serdang).

Surat Tasrin masih saya simpan. Tapi sayang hubungan saya dengannya telah terputus begitu lama. Adakah beliau masih ingat pada saya?

Saturday, January 3, 2009

Orang Banjar di Sumatera Utara (Sumut)

Saya sudah lama tahu bahawa Sumut adalah satu lagi tempat di luar Kalsel di mana ramai orang Banjar. Ini ialah kerana pada waktu saya budak-budak dahulu aruah datuk saya sebelah emak, Haji Ali pernah bercerita bahawa dia pernah tinggal dan bekerja di Deli, Sumut sebelum berhijrah dan menetap di Selangor, Malaysia. Bagaimanapun, maklumat yang memadai tentang orang Banjar di Sumut agak sukar saya perolehi.

Pada akhir tahun 1980-an atau awal 1990-an, ketika saya menyelia Sdr.Ardi, seorang pelajar sarjana yang berasal dari Medan, saya cuba mendapatkan maklumat tentang orang Banjar di Medan dan Sumut. Sebagai seorang Minang, beliau tidak tahu banyak tentang orang Banjar. Bagaimanapun, antara perwatakan orang Banjar yang menarik hatinya ialah orang Banjar katanya ialah orang yang tekun dan kuat bekerja. Seolah-olah bagi orang Banjar di Sumut "hidup ialah kerja".

Saya meminta beliau menerangkan kawasan atau perkampungan khusus yang pendududknya terdiri daripada orang Banjar, tapi beliau tidak begitu pasti, kerana orang Banjar katanya sudah hidup membaur atau bercampur dengan suku-suku lain.

Pada tahun 1997 saya pernah menyiarkan surat "mencari kenalan dan keluarga" di kalangan orang Banjar di Sumut dalam akhbar Waspada. Respons yang saya terima agak menggalakkan. Saya menerima tidak kurang daripada 20 pucuk surat daripada orang Banjar dari pelbagai tempat di Sumut. Tapi sebagaimana biasa, hubungan saya dengan mereka tidak berkekalan. Setelah berutus dan berbalas dua tiga surat, hubungan itu terputus begitu saja.

Di sekitar tahun 1997 juga saya pernah bertanya kepada Flores Tanjung, dosen IKIP Medan yang ketika itu mengikuti program sarjana di UKM jika beliau tahu ada kajian tentang orang Banjar di Sumut. Katanya, kalau tidak salah, ada seorang dosen IKIP Medan, bernama Bapak Sanusi pernah membuat kajian tentang orang Banjar. Tapi beliau tidak sempat menolong mendapatkan salinan laporan kajian itu, jika betul ada.

Selepas itu usaha saya untuk mendapatkan maklumat tentang orang Banjar di Sumut boleh dikatakan terhenti, kerana kesibukan yang lain, di samping saya pun agak lama tidak lagi berkunjung ke Sumut.

Pada tahun 2007, ketika saya teringat untuk mencari data tentang orang Banjar di Sumut di internet, saya tidak sangka saya akan mendapat maklunat yang berguna dalam website akhbar Sinar Indonesia Baru.

Keluaran 1 Julai 2007 akhbar itu melaporkan tentang kunjungan Gabenor Kalsel, Rudi Arifin ke Langkat untuk merasmikan Rumah Adat Banjar di Stabat pada hari Khamis 27 Jun 2007. Dalam laporan itu turut dicatatkan sedikit maklumat tentang orang Banjar di Sumut.

Antara maklumat penting yang tercacat dalam laporan itu ialah majlis perasmian itu dihadiri oleh kira-kira 70,000 orang Banjar. Turut hadir dan berucap ialah H.Syamsul Muarif, yang dikatakan sesepuh warga Banjar yang juga Ketua Korbin OKK DPP Partai Golkar.

Dalam laporan itu ada juga dinyatakan bahawa sebahagian besar orang Banjar di Langkat adalah bermata pencarian petani dan nelayan.

Di akhir laporan itu ada dinyatakan bahawa sebuah buku tentang sejarah keberadaan orang Banjar di Langkat dan Deli telah diserahkan kepada Gabenor Kalsel.

Jadi dari laporan akhbar Sinar Indonesia Baru, kita boleh menyimpulkan maklumat penting yang berikut:

a) Kabupaten Langkat ialah satu kawasan di Sumut di mana penduduknya ramai terdiri daripada orang Banjar.
b) Jumlah orang Banjar di Langkat tentu tidak kurang daripada 70,000 orang. (Jika semuanya hadir, jumlah mereka tentu lebih daripada itu).
c) H.Syamsul Muarif ialah seorang (salah seorang?) sesepuh atau tokoh Banjar di Sumut.
d) Kini telah ada buku sejarah tentang orang Banjar di Langkat dan Deli.
e) Adalah satu perkara yang menarik juga di Sumut telah ada Rumah Adat Banjar.

Friday, January 2, 2009

Orang Banjar di Tembilahan

Selain daripada Malaysia (atau Semenanjung Malaysia) Tembilahan di Inderagiri Hilir, Sumatera barangkali adalah satu tempat di luar Kalimantan Selatan (Kalsel) di mana terdapat ramai orang Banjar.

Migrasi orang Banjar ke Tembilahan barangkali berlaku lebih kurang semasa dengan migrasi mereka ke Malaysia. Ramai juga orang Banjar dari Tembilahan yang kemudian berhijrah lagi ke Malaysia, tapi sebahagian yang kebih besar terus menetap di Tembilahan..

Dalam dua tiga tahun terakhir ini ada juga orang Banjar dari Malaysia yang berkunjung ke Tembilahan untuk menemui keluarga mereka yang tinggal di tempat tersebut. Tapi mungkin kurang sekali orang Banjar dari Tembilahan yang berkunjung ke Malaysia.

Sebagaimana yang saya nyatakan dalam posting terdahulu, seorang sepupu perempuan aruah datuk saya ( Andin Amin) bernama Hj.Sarimbun telah berhijrah dari Banjar ke Tembilahan dan dipercayai telah tinggal di tempat tersebut sehinggalah dia meninggal dunia.

Saya percaya Hj. Sarimbun tentu ada anak dan cucu. Tapi siapakah mereka? Dan bagaimanakah hendak mencari dan menghubungi mereka? Saya tidak tahu.

Saya mengharapkan, jika anak cucu Hj.Sarimbun terbaca blog saya ini, mereka akan sudi menghubungi saya. Tapi sehingga ini nampaknya belum ada khabar dari mereka.

(Mohamed Salleh Lamry. Emel: el.salleh@gmail.com. Telefon: 6012-9331545)