Saturday, December 6, 2008

Telefon dari Mekah

Semalam, 6 Disember 2008, saya menerima telefon daripada adik sepupu saya Syahruddin yang sedang menunaikan ibadat haji di Mekah. Dia memaklumkan dia dan isterinya berada dalam sihat walafiat dan akan berangkat ke Arafah petang hari tersebut untuk mengerjakan wukuf.

Panggilan telefon itu tentu tidak saya duga, kerana kami baru saja dapat berhubung dan berkenalan ketika saya dan isteri berkunjung ke Barabai pada bulan Mac 2008 yang lalu. Itulah kali pertama saya dapat bertemu dengannya, dan dalam pertemuan itu dia ada memaklumkan bahawa dia memang sudah mendapat keizinan untuk menunaikan fardu haji pada tahun ini.

Saya ada menelefon Syahruddin, sebelum dia berangkat ke Mekah pada 19 November 2008. Saya doakan semoga dia dan isterinya akan selamat pergi dan selamat balik, sentiasa sihat walafiat, sentiasa diberi Allah kemudahan dan akan mendapat haji yang mabrur.

Ketika saya menerima telefon daripadanya pada kali ini, doa itulah juga yang dapat saya ulangi: semoga dia akan terus berada dalam sihat walafiat, diberi kemudahan dalam menyelesaikan ibadatnya, selamat pulang ke tanah air (Indonesia) dan akan mendapat haji yang mabrur.Amin.

Thursday, December 4, 2008

Kertas kerja "migrasi orang Banjar" dalam Jurnal KANDIL

Pada tahun 2005 yang lalu saya menyertai Konferensi Antar Universiti Borneo-Kalimantan Pertama yang diadakan di Kuching, Sarawak. Saya membentangkan kertas kerja mengenai migrasi orang Banjar yang saya beri tajuk "Dari Kalimantan Selatan ke Semenanjung Malaysia: Migrasi Orang Banjar pada Dua Zaman".

Kertas kerja itu telah saya kirimkan kepada dua tiga website tentang orang Banjar dan telah disiarkan dengan serta merta. Setelah itu, ia disiarkan semula oleh beberapa website lain, yang terbaru dalam website Al-Banjari dan Kulaan Banjar Net.

Kira-kira setahun yang lalu, Taufik Arbain, dosen UNLAM yang menjadi editor baru jurnal KANDIL dari Banjarmasin telah meminta persetujuan saya untuk memuatkan kertas kerja itu dalam jurnal tersebut.

Mengikut khabar terakhir dari Taufik Arbain melalui emel, jurnal KANDIL yang terbaru baru saja terbit, dan kertas kerja saya ada dimuatkan dalam jurnal itu.

Saya menanti kiriman jurnal itu daripada Taufik Arbain. Saya harap beliau akan segera mengirimkannya.

Tuesday, December 2, 2008

Lawatan ke Banjar

Saya sudah pergi ke Banjar (Kalsel) pada bulan Mac tahun ini (2008) bersama isteri saya. Kebetulan saya ada mempunyai keluarga (anak saudara) yang menunggu kami di bandara, memberi penginapan dan membawa kami berjalan-jalan. Jadi kami tidak ada masalah untuk pergi sendiri.

Akan tetapi, tentu tidak semua orang Banjar di Malaysia, termasuk ahli PBM, yang boleh pergi sendiri dengan mudah, sama ada kerana tidak ada keluarga di sana ataupun kerana sebab-sebab lain.

Jadi saya fikir baik juga jika PBM dapat mengaturkan lawatan ke Banjar secara berombongan pada tahun hadapan (misalnya pada masa cuti sekolah bulan Mei atau Jun).

Jika PBM yang menganjurkan lawatan itu, saya ingin PBM menjadi "duta" orang Banjar Malaysia.

Jadi, di samping lawatan tidak formal, mungkin baik juga jika dapat diaturkan acara lawatan yang agak formal, misalnya bertemu dengan organisasi Banjar ataupun bertemu dengan tokoh Banjar di sana.

Kalau PBM yang mengaturkan lawatan itu, mungkin rombongan dapat bertemu dengan Gabenor Kalsel misalnya, dan bagus juga kalau diberikan jamuan oleh beliau.

Saya harap lawatan secara berombongan ini dapat diaturkan tidak lama lagi, kerana memang sudah lama PBM tidak menganjurkan lawatan ke Banjar.

Wednesday, November 19, 2008

Mencari anak dan cucu Andin Ismail di Kg.Dew,Taiping

Saya sudah lama mengetahui bahawa datuk saya,Andin Amin bin Andin Tarif mempunyai seorang abang bernama Andin Ismail. Andin Ismail dikatakan mati di Perak, di Kampung Dew,Taiping.

Bagaimannapun, saya baru saja mengetahui bahawa dia dikatakan mempunyai seorang anak yang masih hidup, bernama Rukaiyah. Rukaiyah dikatakan tinggal di Kampung Dew juga.

Rukaiyah dikatakan mempunyai beberapa orang anak.Salah seorang daripadanya bernama Adul, yang juga tinggal di kampung tersebut. Anaknya yang lain dikatakan ada yang bekerja sebagai guru.

Sayang sekali hubungan kekeluargaan antara kita sudah terputus begitu lama, dan kita seolah-olah tidak saling mengenal antara satu dengan lain.

Saya tidak pasti adakah sesiapa anak atau cucu Andin Ismail yang akan membaca blog saya ini. Akan tetapi, jika ada, saya harap ada antara mereka yang sudi menghubungi saya seperti nombor telefon dan alamat emel di bawah (dalam posting terdahulu).

Mencari anak dan cucu Hajah Sarimbun di Tembilahan

Saya baru saja mengetahui bahawa datuk saya Andin Amin bin Andin Tarif, pendatang dari Banjar yang meninggal dunia di Malaysia beberapa tahun lalu, ada mempunyai seorang sepupu di Tembilahan, Indragiri, bernama Hajah Sarimbun.

Hajah Sarimbun saya kira sudah meninggal dunia. Akan tetapi, dia tentu mempunyai anak dan cucu di Tembilahan.

Nah, adakah sesiapa anak atau cucu Hajah Sarimbun yang terbaca blog saya ini?

Kalau ada, mohon hubungi saya pada ruangan komen di bawah ini, atau boleh juga hubungi melalui telefon dan alamat emel yang berikut:

DR.Mohamed Salleh Lamry
(Mantan dosen Universiti Kebangsaan Malaysia)
Tel. 603-87362542
6012-9331545
Emel: el.salleh@gmail.com

Sunday, November 2, 2008

Selamat berangkat ke Tanah Suci

Ketika saya berkunjung ke Kalsel pada bulan Mac 2008 yang lalu, adik sepupu saya Syahruddin memberi tahu bahawa dia akan pergi ke Mekah pada akhir tahun ini untuk menunaikan fardu haji. Tetapi pada masa itu tarikh keberangkatannya belum diketahui lagi.

Menjelang bulan puasa tempoh hari, saya ada mengirimkan SMS kepadanya untuk mengucapkan selamat berpuasa. Dia membalas SMS saya dengan meminta saya mendoakannya supaya selamat mengerjakan fardu haji. Jadi dia memang akan pergi ke Mekah, tapi dia tidak memberitahu bila tarikhnya.

Pada awal bulan Syawal atau hari raya fitrah tahun ini, saya ada mengirimkan ucapan selamat hari saya melalui SMS. Ucapan SMS rasanya sampai, tapi tidak berbalas.

Tiba-tiba tiga hari yang lalu, saya mendapat panggilan telefon daripada seorang lagi adik sepupu saya di Kalsel, M.Ilmi yang antara lain memberitahu bahawa Syaharuddin akan pergi menunaikan fardu haji. Akan tetapi, ketika itu saya tidak ada di rumah, dan isteri saya yang menjawab penggilan telefon memaklumkan bahawa saya akan menelefon Syahruddin selepas itu.

Dalam dua tiga hari ini, saya mengirim SMS dan juga membuat panggilan telefon kepada Syahruddin. Malangnya, entah mengapa, SMS saya tidak dapat disampaikan, dan saya tidak berjaya menghubungi beliau melalui telefon. Talian beliau dikatakan sentiasa "sibuk".

Oleh itu, sekiranya saya tidak dapat juga menghubungi Syahruddin melalui telefon dalam masa terdekat, maka melalui emel ini saya ingin mengucapkan selamat berangkat ke Tanah Suci, walaupun saya tidak pasti bila tarikhnya. Semoga dia dan isterinya akan selamat pergi dan balik, dan akan mendapat haji mabrur. Amin.

Wednesday, October 8, 2008

Bertukar SMS di Hari Raya

Sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kira-kira 7 bulan selepas saya berkunjung ke Banjar pada bulan Mac yang lalu, saya rasa saya patut menghubungi keluarga dan kenalan saya di Banjar. Isteri saya mencadangkan supaya saya mengirim kan Kad Selamat Hari Raya. Tapi saya memlih untuk mengirim SMS sahaja.

Saya menaip empat baris sajak seperti berikut, dan mengirimkannya kepada kira-kira 20 orang keluarga dan kenalan saya di Banjar dan di tempat lain (termasuk Medan dan Jakarta):

Inilah pesan pengganti diri
Semoga bergembira di aidil fitri

Dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki
Salah dan silap mohon dimaafi

Kecuali seorang dua, semua yang saya kirimi SMS telah mengirimkan balasan kepada saya. Inilah contoh balasan sebahagian daripada mereka:

Ulun ju amohon maaf lahir dan batin, lawas kada ta sua, walaupun hanya lewat emel.Ulun lagi liburan di kampung, semoga dibrkahi umur panjang dan murah rejeki, dari sekeluarga ( Muhamad Yusof, Kaltim).

Ass.
Orang Alabio makan ketupat,
Dicampur dengan sayur paliat
Di aidilfitri kami bermohon maaf
Atas segala salah dan khilap
Wassalam
(Taufik Arbain dan Lisa Noor Riani, Banjarmasin)

Ass.Wr.Wb.
Sama-sama Pak, saya minta maaf. Kata Imam Al Ghazali, yang jauh itu waktu, yang dekat itu mati, yang besar itu nafsu, yang berat itu amanah, yang mudah itu berbuat dosa, yang panjang itu amal sholeh, yang indah itu saling memaafkan. Selamat hari rayaIdul Fitri1429H, Mohon maaf lahir batin, Terima kasih
(Asmawati, Banjarmasin)

Ada es di warung
Bu Rima beli sepiring
makan bersama
.
SMS lebaran sudah diterima
teriring maksud yang sama
Met idul fitri 1429H
mohon maaf lahir dan batin.
( Ahmad Juhaidi, Banjarmasin -- 62812 5015213)

Selamat idul fitri, Mohon maaf zahir batin
(Syaiful , Martapura, tanah Borneo)

Jutaan terima kasih dan maaf lahir batin drp kami sekeluarga. Mohon sampaikan salam kami untuk keluarga prof.
( Fitri, Padang - 628583519630)

Kami sekeluarga mengucapkan selamat hari raya aidil fitri.Mohon maaf lahir batin, minal aidin wal faiizin. Mudahan jalinan silaturahim kita di redhai Allah swt.
(Syaiful dan keluarga, Brunai)

Tari zapin rentak Melayu,
Rentak langkah hitungan delapan,
Hari lebaran di ambang pintu,
Khilaf dan salah mohon dimaafkan.

Selamat hari raya idul fotri1429H, mohon maaf lahir dan batin.
(Wajidi sekeluarga, Banjarmasin)

Terima kasih, semoga kita bersama keluarga tergolong umat-Nya yang dikasihi-Nya yang senantiasa mendapat rahmat-Nya.Mohon maaf lahir batin 1429H.
(Kursani sekeluarga, Barabai)

Amin, semoga perbuatan kita semua lebih baik lagi dan mendapat ridho Allah SWT. Semoga kita dapat bertemu lagi. Amin.
( Hj. Rodinah, Banjarmasin, 62811512736)



Sunday, May 25, 2008

Keluarga yang tidak diketahui

Setakat ini saya hanya berjaya mengesan dan menemui sebahagian daripada keluarga saya di Kalsel, iaitu keluarga dari sebelah bapa saya. Mengesan keluarga dari sebelah bapa saya lebih mudah, kerana saya tahu kakek dan nenek saya berasal dari Pajukungan, Barabai, dan kakek saya pula ada title "andin".

Keluarga dari sebelah ibu sulit sekali untuk dikesan, kerana saya tidak tahu nama kampung kakek dan nenek saya di Kalsel. Malah nama nenek saya yang sebenar, yang sudah lama meninggal dunia, saya pun tidak tahu. Saya hanya tahu nama kakek saya ialah Haji Ali dan berasal dari Amuntai.

Saya yakin kakek dan nenek saya sebelah ibu ini ada mempunyai keluarga atau keturunannya di Amuntai. Tapi siapakah mereka dan bagaimanakah saya hendak mengenali mereka? Saya tidak tahu.

Tambahan pula perhubungan saya dengan keluarga sebelah ibu saya di Kalsel sudah terputus terlalu lama -- sudah puluhan tahun dan sudah melepasi beberapa generasi. Adakah keluarga saya di sana tidak mungkin dicari lagi?

Monday, May 5, 2008

Kunjungan orang Malaysia ke Banjar

Saya dimaklumkan pada 2 Jun 2008 nanti ada orang Banjar dari Malaysia yang akan berkunjung ke Banua. Mereka akan melawat Kalsel selama 5 hari 4 malam

Saya berminat juga untuk menyertai lawatan ke Banua secara berkumpulan ini. Akan tetapi, mengingatkan saya baru saja berkunjung ke Banua pada bulan Mac yang lalu, saya rasa biarlah saya pergi pada masa dan kesempatan yang lain.

Memang dalam lawatan saya ke Banua tempoh hari, masih banyak tempat yang belum saya kunjungi dan sebahagian keluarga dan kenalan juga belum dapat saya temui. Akan tetapi, buat masa ini urusan yang lain juga perlu diselesaikan dan dilaksanakan. Jadi biarlah saya ke Banua pada waktu yang lain saja.

Dalam kunjungan yang akan datang barangkali saya akan membuat perancangan yang lebih teliti, supaya saya dapat berjumpa dengan orang-orang yang belum saya temui dan dapat melawat tempat yang belum saya kunjungi

Saya masih merinduimu, Banuaku.

Thursday, May 1, 2008

Mengapa perhubungan terputus?

Kakek saya, Andin Amin bin Andin Tarif dan isterinya Aminah bt.Tasan serta dua orang anak mereka telah "madam" ke Malaysia pada tahun 1920-an.Selepas itu mereka tidak pernah pulang lagi ke Banjar, dan boleh dianggap sebagai "perantau hilang". Dengan itu, hubungan mereka dengan keluarga di Banjar boleh dikatakan telah terputus langsung, sehinggalah mereka meninggal dunia di Malaysia.

Seingat saya, kakek dan nenek saya tidak pernah bercerita hendak pulang ke Banjar atau menziarahi keluarga mereka di Banjar. Walaupun sesekali mereka ada bercerita tentang keadaan Banua Banjar ketika mereka tinggalkan, tapi hasrat untuk berkunjung kembali ke Banjar rasanya memang tidak ada.

Mengapakah demikian?

Saya hanya boleh menduga, sebab yang utama mungkin ada dua. Pertama, pada masa itu (sehingga tahun 1950-an, misalnya) perhubungan antara Malaysia dengan Banjar mungkin masih sukar, atau tidak semudah sekarang. Kedua, untuk pulang ke Banjar memang memerlukan ongkos yang agak besar, yang mungkin di luar kemampun mereka untuk menanggungnya. Mungkin ada sebab lain, tapi saya tidak pasti.

Saya berpeluang berkunjung ke Banjar baharu-baharu ini, kerana perhubungan antara Malaysia dengan Banjar sudah agak mudah. Ada penerbangan dari Malaysia ke Jakarta ( atau boleh juga ke Surabaya) dan kemudian ke Banjarmasin. Di samping itu, berbanding dengan kakek dan nenek saya atau ibu bapa saya, saya juga mungkin lebih mampu. Jadi dapatlah saya berkunjung ke Banjar.

Wednesday, April 30, 2008

Akan ke Banua lagi

Dari penelitian saya setakat ini, saya sebenarnya mempunyai keluarga yang agak ramai di Banua (Kalsel), sama ada di sebelah datuk (kakek) atau di sebelah nenek saya. Mereka terbahagi kepada pelbagai kelompok pekerjaan; dari tani, pegawai negeri hinggalah wira swasta.

Ketika berkunjung ke Kalsel dari 10 hingga 15 Mac 2008 yang lalu, saya hanya sempat menemui sebahagian mereka. Sebahagian lagi, khasnya golongan yang lebih muda atau pangkat anak saudara kepada saya, belum sempat saya temui.

Saya harap akan dapat bertemu dengan mereka apabila saya berkunjung lagi ke Kalsel pada masa hadapan. Hanya masanya yang belum pasti. Tapi jika panjang umur dan murah rezeki, saya harap akan dapat juga berjumpa dengan mereka.

Sementara itu, saya mengalu-ngalukan jika ada kulaan dari Banua pula yang berkunjung ke Malaysia.

Wednesday, April 16, 2008

Belum ada rezeki untuk berjumpa

Sebelum saya berkunjung ke Kalsel dari 10 Mac hingga 15 Mac 2008, saya tidak tahu, atau tidak begitu pasti, bahawa datuk (kakek) saya sebelah ayah, Andin Amin bin Andin Tarif ada mempunyai seorang abang bernama Andin Mat Saat. Abangnya itu terus tinggal di Banjar dan tidak ikut berpindah ke Malaysia.

Saya mengetahui bahawa Andin Amin mempunyai abang ini daripada makcik saya Asiah, iaitu satu-satunya anak Andin Amin yang yang masih hidup pada masa ini.

Saya telah menghubungi H.Huzaifah, kenalan saya di Barabai untuk mendapat informasi tentang Andin Mat Saat ini. Beliau yang menghubungi sepupu saya M.Ilmu kemudian memberi tahu bahawa orang yang bernama Andin Mat Saat itu memang pernah wujud, dan mempunyai tiga orang anak, iaitu H.Muhsin, H.Adawiyah, dan H.Ragaiyah. H.Muhsin dikatakan sudah meninggal dunia di Pontianak, H.Adawiyah tinggal di Banjarmasin, dan H.Ragaiyah di Pajukungan.

Saya kemudian menghubungi pula H.Rodinah, anak saudara yang tinggal di Banjarbaru, kalau dia ada informasi tentang H.Adwiyah dan anak-anaknya. Informasi yang diberi oleh H.Rodinah hampir sama dengan informasi yang diberi oleh M.Ilmi.H.Adawiyah tinggal di Banjarmasin, dan mempunyai 4 orang anak, iaitu Faisal Ariffin (sudah meninggal dunia), H.Romsah dan H.Sarawiyah (di Banjarmasin) dan H.Salasiah di Balikpapan). H.Romsah dikatakan tinggal dengan anaknya yang bernama H.Ibnu Arabi.

Kalau sekiranya saya tahu tentang keturunan Andin Mat Saat ini sebelum saya berkunjung ke Kalsel tempoh hari, mungkin saya dapat menemui mereka. Tapi memang agaknya kami belum ada rezeki untuk berjumpa. Jadi saya harap dapat berjumpa dengan mereka pada masa dan kesempatan yang lain.

Kalau cucu dan buyut beliau itu berminat untuk berkenalan dan berkomunikasi dengan saya, saya sekali lagi menurunkan alamat emel dan no. telefon saya, iaitu: el.salleh@gmail.com (emel) dan 60129331545 (HP)

Sunday, March 30, 2008

Keturunan Andin Tarif

Andin Tarif

Paling jauh saya dapat mengesan asal usul saya ke atas kepada Andin Tarif.
Akan tetapi, saya belum mengetahui siapa nama ibu bapanya, nama isterinya dan berapa orang adik beradiknya.

Andin Tarif sekurang-kurangnya ada mempunyai 5 orang anak, seperti berikut:

1. Andin Mat Saat
2. Salamah
3. Andin Ismail
4. Andin Amin
5. Hamidah.

Andin Mat Saat dan Salamah terus menetap di Banua sehingga mereka meninggal dunia. Akan tetapi, tiga orang adiknya, Andin Ismail, Andin Amin dan Hamidah "madam" ke Malaysia, diperkirakan pada tahun 1920-an, dan meninggal dunia di Malaysia. Tiga orang anak Andin Tarif ini beranak bercucu di Malaysia dan tidak pernah pulang ke Banua.

Sekarang kelima-lima orang anak Andin Tarif ini sudah meninggal dunia. Keturunan mereka ramai di Banua dan di Malaysia, tetapi hubungan mereka sudah terputus lama, dan kebanyakannya sudah tidak lagi saling mengenal.


***
Andin H.Mat Saat
Andin H.Mat Saat yang merupakan anak sulung kepada Andin Tarif mungkin lahir di Pajukungan dan dahulunya tinggal di tempat tersebut.
Beliau dikatakan mempunyai tiga orang anak, iaitu:
1. Andin H.Muhsin (almarhum)
2. H.Adawiyah
3. H.Ragaiyah.
Andin H.Muhsin dikatakan pernah tinggal di Pontianak dan merupakan orang yang kaya raya di kota tersebut. Beliau juga mungkin meninggal dunia di kota itu.Setakat ini tidak diketahui nama anak atau keturunannya, walaupun tentunya beliau ada mempunyai anak.
H.Adawiyah dikatakan tinggal di Banjarmasin, dan mungkin masih hidup sampai sekarang. Beliau mempunyai tiga orang anak, iaitu:
1. Romsah (pensiunan guru)
2. Sarawiyah (doktor spesialis anak)
3. Andin Faisal Arifin (swasta)
H.Ragaiyah pula tinggal di Pajukungan, dan mungkin masih hidup sampai sekarang. Beliau mempunyai 2 orang anak, iaitu:
1. Asad
2. Nurhamdi
Kedua-dua orang anaknya juga tinggal di Pajukungan, dan bekerja sebagai petani. Mereka dikenali oleh sepupu saya, Sdr.M.Ilmi.
***
Salamah
Salamah berkahwin dengan Muhamad, dan mendapat beberapa orang anak. Salah seorang daripada anaknya ialah Ahmad yang berkahwin dengan Halimah. Dari perkahwinan Ahmad dengan Halimah, lahir beberapa orang anak, antaranya:
1. Badariah (berkahwin dengan Napiah)
2. Sadariah (berkahwin dengan Hasbullah)
3. H.Baseran (berkahwin dengan Handanah)
4. Sarkawi (berkahwin dengan Ramlah)
5. Norhani
Badariah yang berkahwin dengan Napiah memperoleh beberapa orang anak, iaitu:
1. Aslamiah (bekahwin dengan Zawawi)
2. H.Rosinah (berkahwin dengan Askalani, almarhum)
3. Rokiah (berkahwin dengan Zaidi)
H.Rosinah yang berkahwin dengan Askalani, mendapat beberapa orang anak, iaitu:
1. H.Kursani (berkahwin dengan Mahmudah)
2. Morsani (berkahwin dengan Masdian)
3. Masrani (berkahwin dengan Rahmawati)
4.Hamsinah (berkahwin dengan Nurul)
5. Siti Fatimah (berkahwin dengan Bahrani)
6. Rahimah
H.Baseran yang berkahwin dengan Handanah memperoleh beberapa orang anak, iaitu:
1. H.Rodinah (berkahwin dengan Rasmadi)
2.H.Hanah
3. Rohyadi
4. Rohdani
5. Rohmadi
6. Rominah
Sarkawi berkahwin dengan Ramlah, dan memperoleh beberapa orang anak, iaitu:
1.Taufik
2. Asiah
3. Syahrudin
4.Najamudin
5.Md.Arshad
6.Shahanum
7/Syaifullah




Wednesday, March 26, 2008

Mencari Buyut H.Andin Mat Saat (Asal Pajukungan,Barabai?)

Pada pertengahan tahun 1920-an dahulu, tiga orang anak Andin Tarif dari Kandangan/Barabai, iaitu Andin Ismail, Andin Amin dan Hamidah telah "madam" ke Malaysia. Mereka terus menetap di Malaysia, beranak bercucu di Malaysia dan tidak pernah pulang lagi ke Banjar.

Andin Amin yang berkahwin dengan Aminah binti Tasan (dari Pajukungan, Barabai) mempunyai 7 orang anak dan lebih 20 orang cucu.Salah seorang cucunya ialah saya, DR.Mohamed Salleh Lamry, mantan dosen sebuah universiti di Malaysia.

Selepas saya balik dari berkunjung ke Kalsel baru-baru ini (10 Mac hingga 15 Mac 2008) , saya mendapat tahu, salah seorang abang Andin Amin, bernama Andin Mat Saat tidak ikut madam ke Malaysia, dan terus tinggal di Banjar, sehinggalah dia meninggal dunia.

Andin Mat Saat dikatakan mempunyai tiga orang anak, iaitu H.Muhsin (almarhum), H. Adawiyah dan H.Ragaiyah. Almarhum H.Muhsin tinggal di Pontianak, dan semasa hidupnya merupakan orang kaya di tempat tersebut. H.Adawiyah tinggal di Banjarmasin, sementara H.Ragaiyah tinggal di Pajukungan, Barabai (mungkin tempat asal Andin Mat Saat dan adik-adiknya).

H.Muhsin mungkin mempunyai beberapa orang anak, tetapi setakat ini belum diketahui.
H.Adawiyah mempunyai tiga orang anak, iaitu Romsah (pensiunan guru), Sarawiyah (doktor spesialis anak) dan Faisal Arifin (swasta).

H.Ragaiyah pula mempunyai dua orang anak, iaitu Asad dan Nurhamdi, yang kedua=duanya bekerja sebagai petani.

Anak-anak H.Adawiyah dan H.Rogaiyah (cucu Andin Mat Saat) tentu telah mempunyai anak-anak pula yang merupakan buyut atau cicit kepada Andin Mat Saat.

Nah, sekarang saya ingin mencari dan mengenali cicit atau buyut Andin Mat Saat, sama di Kalsel atau di tempat lain. .Adakah di antara mereka yang terbaca blog saya ini? Saya, cucu Andin Amin, pangkat Pak Cik atau bapa saudara kepada kalian.

Oleh itu, jika ada buyut Andin Mat Saat yang terbaca blog ini, saya harap mereka tidak keberatan menghubungi saya di Malaysia. Alamat emel: el.salleh@gmail.com. No. telefon: +60387362542 (rumah) dan + 60129331545 (HP).

Salam dari Malaysia.

Monday, March 24, 2008

Keluarga yang Belum Ditemui

Setakat ini usaha saya mencari keluarga sebelah bapa saya di Banua (Kalsel) boleh dikatakan "separuh berjaya". Ini ialah kerana saya telah mengetahui nama sebahagian sepupu dan anak saudara saya, dan telah dapat menemui mereka ketika saya berkunjung ke Banua dari 10 Mac hingga 15 Mac 2008 yang lalu.

Ketika saya berkunjung ke Banjarmasin, Banjarbaru dan Barabai tempoh hari , ramai pula sanak saudara yang lain, yang umumnya pangkat sepupu dan anak saudara kepada saya, datang menemui saya. Jadi terjalinlah sudah hubungan silaturrahim antara saya dengan mereka setelah terputus selama beberapa generasi.

Usaha saya mencari keluarga sebelah bapa ini agak mudah sedikit, kerana datuk (kakek) sebelah bapa saya ada titel "Andin" di pangkal namanya, dan kampung asalnya di Banua juga masih dapat diingati, iaitu Pajukungan (dekat Barabai). Sementara itu, isterinya Aminah ada meninggalkan seorang anak bernama Ningrat di Pajukungan ketika dia berpindah ke Malaysia bersama-sama dengan suaminya Andin Amin pada pertengahan tahun 1920-an dahulu. Nama Ningrat pun mudah diingati oleh keluarga saya yang masih tinggal di kampung Pajukungan. Jadi mudahlah keluarga saya di Banua menghubungi saya pula (melalui telefon, SMS dan emel).

Bagaimanapun, usaha saya mencari keluarga sebelah emak saya setakat kini masih menghadapi jalan buntu, dan belum menampakkkan titik terangnya. Saya hanya tahu datuk(kakek) saya sebelah emak bernama Haji Ali, dan berasal dari Amuntai. Tapi nama kampungnya di Amuntai tidak saya ketahui.Nama isterinya (nenek saya sebelah emak) yang diduga juga berasal dari Amuntai, pun tidak saya ketahui dengan tepat.

Sementara itu, setelah saya pulang dari Banua baru-baru ini, Mak Cik saya Asiah (satu-satunya anak kakek saya Andin Amin yang masih hidup) memberi tahu, bahawa Andin Amin sebenarnya mempunyai seorang abang (abang sulung) bernama Andin Mat Saat yang tidak ikut berpindah ke Malaysia. Walaupun Andin Mat Saat telah meninggal dunia, tetapi keturunannya (misalnya cucu dan buyutnya) tentu masih ada di Banua.

Saya telah bertanya kepada keluarga saya di Barabai kalau-kalau mereka tahu tentang Andin Mat Saat. Syukur alhamdulillah ada yang tahu, dan dapat memberikan nama anak cucu Andin Mat Saat. Jadi setakat ini nama anak cucu Andin Mat Saat telah saya ketahui, hanya saya belum berkesempatan untuk berkenalan dan berjumpa dengan mereka.

Mudah-mudahan , jika umur panjang dan dimurahkan rezeki, saya masih berpeluang untuk bertemu dengan kaum keluarga di Banua yang belum sempat saya temui itu .

Friday, March 21, 2008

Pengalaman Manis di Banua

Antara pengalaman manis yang saya dan isteri saya alami ketika kami berkunjung ke Banua dari 10 Mac hingga 15 Mac 2008 yang lalu tentulah sambutan dan layanan yang begitu baik dan mesra yang diberikan oleh kulaan kami di tempat tersebut.

Ketika kami sampai di bandara Shamsudin Nor pada pukul 9.40 malam 10 Mac sudah menunggu anak saudara saya H.Rodinah bersama suaminya Prof. M.Rasmadi, Rektor Unlam. Prof. Rasmadi sengaja tidak membawa supir. Beliau sendiri yang memandu mobil dan membawa kami bermalam di rumah dinas beliau di Banjarmasin.

Pagi esoknya, Selasa 11 Mac 2008, Hj.Rodinah bersama adiknya dan anak saudaranya telah menemani kami melawat Pasar Terapung di Kampung Kuin, melawat makam Sultan Surian Syah dan makan pagi di satu warung di pinggir sungai, di kampung tersebut. Pada sebelah tengah hari H.Rodinah menjamu kami makan tengah hari di sebuah rumah makan Banjar di Banjarmasin, kemudian pada sebelah petang beliau menemani kami melihat-lihat bandar Banjarmasin dan Bandarbaru, termasuk membeli kain Sasirangan di Banjarbaru. Saya mengambil kesempatan menempah baju batik yang dijahit secara cepat dan boleh siap pada petang hari esoknya.

Pada hari Rabu, 12 Mac 2008, setelah menginap semalam lagi di rumah H.Rodinah (malam kedua ini di Banjarbaru), kami dihantar ke Pajukungan, Barabai oleh supir H.Rodinah, dengan ditemani oleh adik dan anak saudara H.Rodinah. Tempat tujuan kami ialah rumah ibu H.Rodinah yang tinggal bersama dengan anaknya (adik H.Rodinah). bernama Rohmadi. Di situlah kami akan ditempatkan selama satu malam.

Ketika kami sampai ke rumah ibu H.Rodinah, sudah menunggu dua orang sepupu saya, Syahrudin dan M.Ilmi, "kenalan emel" saya H.Huzaifah (adik ipar M.Ilmi) dan beberapa orang keluarga yang lain. Pertemuan pertama dengan Syahrudin dan M.Ilmi, di saat kami sudah tua, dan sesudah terputus hubungan begitu lama, memang merupakan pertemuan yang sangat mengharukan.

Pada petang Rabu dan malamnya (malam Khamis) kami ke rumah Syahrudin yang mengadakan sambutan maulud Nabi. Dari rumah ibu H.Rodinah, kami dihantar oleh anak saudara saya, Kursani. Kami dilayan dengan begitu baik dan mesra, walaupun agaknya sebahagian kulaan yang datang ke rumah Syhrudin ketika itu tidak menyedari kehadiran kami.

Esoknya, hari Khmis 13 Mac 2008 kami ke rumah M.Ilmi yang juga mengadakan sambutan maulud Nabi dengan dihantar oleh Kursani dan isterinya. Di rumah M.Ilmi banyak kulaan yang kami temui dan beramah tamah dengan kami. Selepas itu Kursani membawa kami ke Pagat, suatu tempat wisata dekat Barabai, dan dijamu makan yang begitu enak di situ. Malamnya kami bermalam di rumah Syahrudin.

Pagi esoknya, hari Jumaat 14 Mac 2008, dari Pujukungan, Barabai, kami dihantar oleh Kursani ke rumah H.Rodinah di Banjarbaru. Dalam perjalanan, kami dijamu oleh Kursani makan di tengahari di satu rumah makan Banjar di pinggir jalan, dan di bawa melawat makam Syeikh Arshad A-Banjari. Kami bersembahyang Jumaat di masjid Martapura.

Pada petang hari Jumaat itu H.Rodinah membawa kami ke Martapura untuk melihat-lihat kedai yang menjual permata. Kedainya banyak sekali, tapi harganya agaknya tidaklah murah. Jadi kami sekadar melihat-lihat sahaja.

Malam Sabtu, malam terakhir kami di Banua, kami menginap di rumah H.Rodinah di Banjarbaru. Sebagaimana yang dijanjikan dan kami harapkan, Ibu Ir Asmawati , kenalan saya sejak tahun 1989, dan suaminya dari Banjarmasin telah datang menemui kami dan beramah mesra dengan kami. Kami hargai kedatangan beliau dan kami tunggu kedatangan beliau di Malaysia.

Esoknya, jam 8.00 pagi kami dihantar ke bandara Shamsudin Nor oleh supir H.Rodinah dengan ditemani oleh adik beliau dan anak saudaranya. H.Rodinah dan Prof.M.Rasmadi tidak dapat menghantar kami, kerana mereka ada mesyuarat penting di Unlam pada pagi itu . Pukul 10.55 pesawat Garuda membawa kami ke Jakarta.

Selamat tinggal Banua. Selamat tinggal semua kulaan yang menyambut kami dengan ramah tamah dan memberi layanan yang cukup baik dan mesra. Semuanya akan kami kenang sebagai pengalaman kami yang amat manis!

Wednesday, March 19, 2008

Harapan yang tidak kesampaian

Ketika berkunjung ke Kalsel dari 10 Mac hingga 15 Mac 2008, saya berharap akan dapat bertemu dengan beberapa orang "kenalan emel" saya, di samping menemui keluarga dan melawat beberapa objek wisata di Kalsel.

Antara orang yang saya harapkan akan dapat saya temui ialah Sdr. Taufik Arbain (dosen Unlam) dan Sdr.Wajidi (staf Balitbangda).

Sayangnya , kerana keterbatasan waktu saya berada di Kalsel, rancangan untuk bertemu dengan "kenalan emel" itu tidak dapat dilaksanakan. Saya tidak mempunyai waktu yang cukup dan sesuai untuk bertemu dengan mereka. Lima hari berada di Kalsel nampaknya tidak cukup untuk memenuhi acara yang saya rancangkan.

Bagaimanapun, saya bersyukur kerana pada malam terakhir saya berada di Kalsel, iaitu malam Sabtu 15 Mac 2008, Ibu Ir. Asmawati , "kenalan lama" saya dan suaminya , telah datang menemui saya dan isteri saya di tempat penginapan kami, di rumah Rektor Unlam, Prof.Rasmadi di Banjarbaru.

Saya senang sekali dapat bertemu dengan beliau, dan mengharapkan hubungan persahabatan dan persaudaraan antara kami akan berkekalan. Kami menunggu kedatangan beliau ke Malaysia pula.

Monday, March 17, 2008

Berkunjung ke Banua

Setelah tertangguh beberapa kali, akhirnya sampai juga saya dan isteri ke Banua. Kami pergi pada !0 Mac 2008 dan pulang pada 16 Mac 2008.

Kami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua kulaan yang telah menyambut kedatangan kami dan melayan kami serta memberi pelbagai pertolongan kepada kami, khasnya kepada:

1. Anakanda Hj. Rodinah (Dekan Fakultas Pertanian Unlam) dan suaminya Prof. Rasmadi (Rektor Unlam)
2. Anakanda Drs Setia Budhi (dosen Unlam) dan isterinya
3. Adinda Sdr. H.Huzaifah
4. Adinda Syahrudin dan keluarga
5. Adinda M.Ilmi dan keluarga
6. Anakanda Rohmadi dan keluarga
7. Ibu Ir.Asmawati dan suami
8. Anakanda Kursani dan isteri

dan kulaan lain yang namanya tidak dapat saya nyatakan di sini satu persatu.

Kami merasa terharu di atas semua layanan dan pertolongan yang telah diberikan kepada kami. Kami hanya dapat menyampaikan ucapan terima kasih yang tiada hingganya, di samping berdoa semoga Tuhan jualah yang akan dapat membalas budi baik kulaan semua.

Saya bercadang akan menceritakan semua pengalaman saya berkunjung ke Banua ini dalam blog khusus yang baru saya wujudkan, di alamat: http://dibanjar.blogspot.com

Kalau ada sumur di ladang
Dapat kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Dapat kita bertemu lagi.

Monday, February 25, 2008

Barabai yang akan ku kunjungi

Pada tahun 1960-an dan 1970-an, ketika kakek dan nenek saya sebelah Bapa masih hidup, mereka pernah menyebut nama Kandangan dan Barabai yang menjadi tempat kelahiran mereka. Kandangan ialah tempat kelahiran kakek, sementara Barabai tempat kelahiran nenek.

Nenek juga pernah bercerita tentang anak perempuannya dari suami pertama yang ditinggalkannya ketika dia berhijrah ke Malaysia, mungkin pada tahun 1930-an. Anak perempuannya itu katanya bernama Ningrat, tetapi dia tidak tahu di mana anaknya tinggal; sama ada di Barabai atau di tempat lain.

Walau bagaimanapun, pada masa itu kakek dan nenek tidak pernah menyebut untuk berkunjung ke Kandangan dan Barabai dan tidak pernah juga menyuruh saya berkunjung ke tempat itu untuk mencari dan menemui keluarga kami.

Pada masa itu saya menganggap Kandangan dan Barabai sebagai tempat yang terlalu asing dan terlalu jauh, sebagai sebuah dunia lain, yang tidak terbayang langsung untuk saya kunjungi.

Pada akhir tahun 1980-an, setelah saya biasa berkunjung ke beberapa tempat di Indonesia, seperti Jakarta, Bandung dan Ceribun, baru saya teringat untuk mencari keluarga di Kalsel. khasnya di Kandangan dan Barabai. Antaranya ialah dengan memasukkan surat "mencari keluarga" dalam Banjarmasin Post, Republika dan beberapa akhbar dan majalah lain. Namun, usaha saya tidak mendatangkan hasil.

Pada tahun 2005 dan 2006, saya bernasib baik kerana ada kenalan saya orang Kalsel yang mahu berkujung ke Kandangan dan Barabai untuk menolong mengesan keluarga saya, jika masih ada.Salah seorang daripadanya ialah seorang pegawai negeri dari Kalsel yang pernah belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM), tetapi dia tidak berjaya menemui keluarga saya. Seorang lagi ialah seorang staf IAIN. Dia dapat mengesan keluarga saya yang bernama Pak Ilmi, tetapi tidak dapat menemuinya ketika dia berkunjung ke Kandangan.

Pada tahun 2007 saya memasukkan posting mencari keluarga dengan informasi yang agak lengkap blog saya ini. Saya terangkan salsilah keluarga saya dan siapa yang saya cari. Saya tidak sangka blog ini telah dibaca oleh seorang pelajar sekolah yang merupakan anak jiran sepupu saya di Barabai. Sepupu saya, M.Ilmi telah menghubungi saya melalui telefon. Selepas itu, barulah saya tahu saya mempunyai sepupu sebelah nenek bernama M.Ilmi dan sepupu sebelah kakek bernama Syahrudin, yang semuanya tinggal di Barabai.Kemudian saya mendapat informasi selanjutnya ada seorang lagi keluarga saya sebelah kakek, iaitu buyut kepada kakak kakek saya, berrnama Hj.Rodinah. Hj.Rodinah ialah dosen Unlam dan tinggal di Banjarbaru.

Setelah mendapat kepastian saya masih mempunyai dua orang sepupu di Barabai dan seorang "anak saudara" di Banjarbaru, sampailah masanya saya berkunjung ke Kalsel, yang pada tahun 1960-an dan 1970-an dahulu merupakan satu perkara yang hampir tidak terbayangkan sama sekali akan saya lakukan.

Namun, kunjungan saya ke Kalsel telah tertunda beberapa kali. Saya pernah merancang untuk ke Kalsel pada bulan Oktober 2007 sempena suatu konferensi di Unlam. Tapi tidak jadi. Kemudian saya bayangkan kepada keluarga saya di Kalsel saya akan berkunjung ke sana pada bulan November atau Disember 2007, tapi tidak jadi juga.

Kini, pada bulan Februari 2008, saya sudah menempah tiket untuk ke Kalsel pada 10 Mac 2008. Saya berharap dan berdoa semoga pada kali ini tidak ada apa-apa halangan lagi. Insya-Allah pada 10 Mac nanti saya akan sampai ke Kalsel, dan seterusnya berkunjung ke Barabai, tempat kelahiran nenek saya, Aminah.

Sementara itu, wajar juga saya sebut di sini, sejak tahun 2007 lagi, ada seorang ipar M.Ilmi , bernama H.Huzaifah di Barabai yang sentiasa berhubung dengan saya melalui emel. Beliau banyak memberi pelbagai informasi tentang Barabai dan Kalsel, dan menjadi penghubung antara saya dengan keluarga saya di Barabai, khasnya dengan M.Ilmi, Syahrudin dan Hj.Rodinah. Atas pertolongan beliau yang begitu banyak, di sini saya ingin merakamkan ucapan terima yang tiada hingganya.

Semoga kita akan bertemu di Barabai pada bulan Mac nanti, insya-Allah.

Sunday, February 24, 2008

R.Eddy Soelaksono, SH (suami Ir.Asmawaty)

Pada tahun 1989 (kalau tidak salah) Ibu Ir.Asmawaty mengirimkan kepada saya kartu nama beliau yang juga mengandungi nama suami beliau. Nama suami beliau ialah R.Eddy Soelaksono, SH.

Beliau saya kira tentu mempunyai anak yang telah dewasa. Jika tidak beliau atau suami beliau sendiri, saya harapkan ada anak beliau yang terbaca blog ini dan akan menghubungi saya.

Terima kasih.

Apa khabar Bapak M.A. Rasjid, J, SH?

Seorang lagi orang Banjar dari Indonesia yang memberi respons terhadap surat saya "mencari keluarga" yang mungkin tersiar dalam akhbar Republika (saya sudah lupa tarikhnya, tapi mungkin pada tahun 1997) ialah Bapak M.A.Rasjid.J, SH dari Jakarta.

Bapak M.A.Rashid J, S.H. bukan saja ada mengirim kartu nama, tetapi juga gambar beliau dan isterinya.

Dalam kartu namanya, yang masih saya simpan dalam album kartu nama, tercatat nama dan alamat beliau seperti berikut:

M.A.Rasjid, J, SH
( Penatar Tingkat 1)

Perumahan Sekretariat Negara RI
Jl.Cempaka Putih Barat XIII No.49,
Jakarta Pusat 10520
DKI KAJARATA INDONESIA

TEl. 422 1978 - 9102708
0811, 146705

Sayang hubungan saya dengan beliau tidak berlanjutan dan terputus begitu sahaja. Saya pun tidak ingat sama ada saya atau beliau yang tidak membalas surat terakhir.

Kini, setelah lebih 10 tahun berlalu, saya tidak tahu adakah beliau masih hidup ataupun sebaliknya. Jika beliau masih hidup dan terbaca blog ini, atau anak beliau yang terbaca blog ini, saya harap mereka tidak keberatan menghubungi saya.

Mengenang H.Soekardi Djapri di Jakarta

Salah seorang yang memberi respons terhadap surat "mencari keluarga" yang saya muatkan dalam Banjarmasin Post atau Republika (?) ialah H.Soekardi Djapri dari Jakarta. Saya masih menyimpan surat beliau yang bertarikh 10 Disember 1997.

Ketika itu, beliau mempunyai anak menantu bernama Ir.Sukhrawardi bin H.M.Saleh yang tinggal di Banjarbaru dan telah menghubungi anak menantunya itu melalui telefon untuk meminta menolong mencarikan keluarga saya yang tinggal di Kampung Pajukungan, Barabai.

Anak menantunya itu memberi informasi bahawa dia ada mempunyai kakek bernama Andin Kasim yang juga berasal dai Kampung Pajukungan dan akan menolong mencarikan informasi lebih lanjut tentang keluarga saya.

Sayang hubungan saya dengan H.Soekardi Djapri terputus setelah saya menerima surat beliau yang bertarikh 10 Disember 1997 itu.

Saya kini tidak tahu adakah beliau masih hidup atau telah meninggal dunia,dan adakah anak menantu beliau Ir.Sukhrawadi masih tinggal di Banjarbaru.

Walaupun mereka tidak dapat menolong mencarikan keluarga saya sehingga berjaya, tetapi saya masih mengingati hubungan singkat dengan H.Soekardi Djapri, dan mana tahu akan ada anak atau keluarga beliau yang terbaca blog ini, kalaupun bukan beliau sendiri. yang membacanya. Sayang sekali pada masa ini alamat lengkap beliau telah hilang dari simpanan saya.

Siapa Andin Hidayat?

Pada tahun 1989, ketika saya memasukkan surat "mencari keluarga" dalam Banjarmasin Post, salah seorang yang memberi respons terhadap surat saya ialah Andin Hidayat.

Bersama surat beliau terlampir kartu nama beliau, yang menerangkan alamat kantor dan rumah beliau seperti berikut:

Kantor:

Kantor Inspeksi Tipe B
Dit.Jend. Bea dan Cukai
Jl.Barito Hilir/Tri Sakti
Banjarmasin
Telp.54225. 52635

Rumah:

Komp DPR Gg. 1
RT 19A No.36
Banjarmasin.

Kartu nama beliau masih saya simpan sampai sekarang. Akan tetapi, setelah hampi 20 berlalu, saya tidak tahu adakah beliau masih hidup atau meninggal dunia. Atau adakah sesiapa anak beliau yang mungkin terbaca blog ini?

Saturday, February 23, 2008

Mengenang Ir.Asmawaty di Banjarmasin

Saya mula berusaha mencari keluarga saya di Kalsel pada tahun 1988 yang lalu. Seorang bapa saudara saya, Jailani memberitahu, bahawa salah seorang keluarga kami yang boleh saya hubungi bernama Ahmad, tinggal di Pajukungan. Berdasarkan nama dan alamat yang tidak lengkap, saya cuba mengirim surat kepada beliau. Malangnya surat saya dikembalikan dengan catatan tidak dapat disampaikan.

Pada akhir tahun 1988 atau awal 1989, saya memasukkan surat "mencari keluarga" dalam majalah Tempo. Saya tidak mendapat respons sama sekali. Mungkin majalah Tempo tidak ada dijual di kampung seperti Pajukungan dan mungkin orang Pajukungan tidak ada yang membaca majalah Tempo. Jadi memang saya memuatkan surat itu di tempat yang salah.

Kemudian saya memasukkan surat "mencari keluarga" dalam koran Banjarmasin Post. Respons yang saya terima cukup memberangsangkan. Saya menerima hampir 20 pucuk surat, tapi malangnya bukan dari keluarga saya. Mereka umumnya ialah orang-orang yang ingin berkenalan dan menjalin hubungan silaturahim dengan saya. Respons dari keluarga saya masih tidak ada.

Bagaimanapun, di antara orang-orang yang memberi respons itu ada seorang yang menyatakan berasal dari Barabai, dan akan menolong menanyakan tentang keluarga saya, bila beliau pulang ke Barabai. Namanya ialah Ir.Asmawaty,tinggal di Jl.Banjar Permai No.14, RT 25, Kompleks Banjar Indah Permai, Banjarmasin. Beliau mengira mungkin kami ada hubungan keluarga, kerana datuk dan nenek saya juga berasal dari Barabai. Dalam salah satu suratnya beliau menyatakan beliau menunggu saya datang ke Kalsel.

Sayangnya, setelah berutus surat beberapa kali, hubungan kami telah terputus begitu saja. Mungkin beliau sibuk dan tidak dapat membalas surat yang saya kirimkan, dan saya pula tidak mengirim surat selanjutnya.

Kini, setelah hampir 20 tahun berlalu, dan setelah saya berjaya mengesan keluarga saya di Barabai pada tahun 2007, barulah saya bercadang akan ke Kalsel pada 10 Mac 2008 yang akan datang. Saya tidak tahu adakah kini Ir.Asmawaty masih hidup dan masih ingat kepada saya. Akan tetapi, jika takdirnya beliau masih hidup dan jika ada kesempatan, saya ingin juga berjumpa dengan beliau nanti.

Friday, February 22, 2008

Kiriman Buku ke Banjarmasin

Sebagai membalas buku yang dikirim oleh Bapak Wajidi, pada 12 Februari 2008 saya telah mengirim 7 buku kepada beliau melalui Pos Laju atau EMS.Agak aneh sedikit buku itu masih belum sampai kepada beliau di Banjarmasin sehingga 21 Februari 2008. Sepatutnya buku yang dikirim melalui EMS boleh sampai dalam tempoh 5 hari sahaja.

Saya telah menghubungi Pejabat Pos Kajang tempat mengirim buku itu pada pagi 22 Februari 2008 untuk menanyakan mengapa buku itu masih belum sampai. Saya telah diberi nombor telefon Ibu Pejabat Pos Laju di Kuala Lumpur untuk saya hubungi. Apabila saya menghubungi pejabat tersebut, saya diberitahu buku itu telah sampai ke Jakarta pada 15 Februari 2008. Akan tetapi, untuk mendapat maklumat selanjutnya saya perlu menghubungi sendiri Pejabat Pos di Jakarta atau di tempat buku itu dikirim. Satu jawapan yang tidak memuaskan, kerana seolah-olah mereka tidak bertanggung jawab lagi setelah buku itu sampai ke Jakarta, tetapi belum sampai kepada penerimanya.

Mujurlah pada pagi 22 Februari 2008 Bapak Wajidi telah menghubungi Pejabat Pos Besar di Banjarmasin untuk bertanyakan tentang buku tersebut. Rupanya buku tersebut sudah sampai ke pejabat pos tersebut, tetapi Bapak Wajidi tidak dimaklumkan tentang hal itu. Dalam hal ini nampaknya ada masalah komunikasi antara Bapak Wajidi dengan pejabat pos yang berkenaan.

Bagaimanapun, saya gembira kerana buku yang saya kirim telah sampai. Saya sebenarnya terpaksa membayar RM75.90 untuk mengirim buku tersebut. Tentunya saya merasa begitu rugi jika buku itu tidak sampai, di samping kehilangan 7 buah buku itu.

Tuesday, February 12, 2008

Buku dari Banua

Seorang kenalan saya di Banua, Bapak Drs. Wajidi telah mengirimkan kepada saya 4 buah buku yang penting dan menarik: dua buah buku karangan beliau dan dua buah buku lain yang beliau menjadi salah seorang penyuntingnya, iaitu buku Sejarah Banjar dan Orang Banjar dan Kebudayaannya.

Kedua-dua buku tersebut bukan saja diterbitkan dengan teknik yang menarik, tetapi juga merupakan buku tebal. Sejarah Banjar cetakan ketiga (2007) dengan kulit keras tebalnya 1043 halaman, manakala Orang Banjar dan Kebudayaannya cetakan kedua (2007) tebalnya 551 halaman (tidak termasuk gambar).

Terima kasih kepada Bapak Drs. Wajidi yang telah mengirimkan buku tersebut.

Melawat Banua

Saya bercadang akan melawat Banua dari 9 hingga 15 Mac 2008 yang akan datang.

Selain menemui keluarga di Banjarbaru dan Barabai, saya harap akan dapat bertemu dengan beberapa orang kawan dan kenalan yang selama ini hanya berhubungan dengan saya melalui emel.

Maklumat tentang saya di Banua, termasuk tempat saya menginap nanti, boleh ditanyakan kepada kawan saya, Bapak Setia Budhi (dosen Unlam). No. telefon beliau 62-0811501067 (HP) dan 62-05114787267 (Rumah)

Friday, January 18, 2008

Lawatan ke Banua

Pada masa yang akhir-akhir ini nampaknya semakin ramai orang Banjar dari Malaysia yang berkunjung ke Banua atau ke Kalimantan Selatan (Kalsel). Tujuan utamanya tentulah untuk menemui keluarga di sana. Sebahagian daripada mereka, ada yang berkhabar melalui lawan web tertentu sebelum pergi ke sana, tetapi ada juga yang pergi "secara senyap-senyap" sahaja.

Adalah menarik juga bahawa dua orang daripada mereka yang melakukan lawatan ke Banua pada bulan November 2007 yang lalu telah memasukkan catatan lawatan mereka berserta dengan pelbagai gambar dalam laman web Ayuhak Bapander.

Kunjungan orang Banjar Malaysia ke Kalsel tentunya merupakan sesuatu yang alamiah, dan tentunya wajar dilakukan, kerana mereka masih mempunyai ramai saudara mara di sana. Dengan itu, perhubungan orang Banjar di Malaysia dengan orang Banjar di Banua bukan sahaja tidak terputus, malah dapat dipereratkan dari masa ke masa.

Bagaimanapun, di samping kunjungan yang bersifat kunjungan persendirian ini, mungkin sekali-kala elok juga orang Banjar dari Malaysia melakukan kunjungan secara berombongan dan mempunyai acara yang agak "rasmi", misalnya menemui tokoh-tokoh Banjar dan mengadakan perjumpaan dengan organisasi orang Banjar di Banua.

Kebetulan beberapa tahun yang lalu, Persatuan Banjar Malaysia (PBM), satu-satunya organisasi orang Banjar di Malaysia, pernah melakukan lawatan secara berombongan seperti itu. Kalau tidak salah, dalam kunjungan kali pertama, mereka telah disambut dan diraikan oleh Gabenor Kalsel. Dalam satu kunjungan yang lain pula, rombongan PBM dan ABIM pernah menyertai satu seminar tentang Syekh Muhammad Arsyad Al-Banjari di Kalsel.

Oleh yang demikian, jika PBM mahu menunjukkan ia masih hidup dan bernafas, adalah wajar sekali jika PBM menganjurkan lawatan berombongan ke Banua dalam waktu terdekat. Kalau PBM masih tidak ada projek besar, projek lawatan seperti itu tentulah mampu dilakukan oleh PBM, jika PBM masih ada kemahuan!

Monday, January 14, 2008

Begitukah sikap Banjar Malaysia?

Baru-baru ini telah berkunjung ke rumah saya seorang dosen muda keturunan Banjar yang berasal dari Kalsel. Dia datang ke Malaysia untuk mengikuti program Sarjana (S2) di Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dia masih mempunyai keluarga di Malaysia, antaranya di Setiawangsa,Kuala Lumpur, dan juga seorang menteri kerajaan Pusat yang pangkat sepupu kepadanya. Oleh itu, sesampainya dia ke Malaysia dia telah berkunjung dan bersilaturrahmi kepada keluarganya itu.

Akan tetapi, dia nampaknya mengalami pengalaman yang kurang menyenangkan. Dia merasa semacam tidak dipedulikan. Keluarganya itu mungkin menganggap dia sama seperti TKI yang datang dari Indonesia!

Sebagai seorang keturunan Banjar, saya merasa tersentuh dan merasa bersalah dengan pengalamannya yang tidak menyenangkan itu. Saya tertanya-tanya mengapa orang Banjar Malaysia melayan keluarganya yang datang dari Banua seperti itu?

Saya harap sikap seperti itu bukan merupakan sikap umum orang Banjar di Malaysia. Jika ada yang bersikap seperti itu memang saya sesali, tapi saya harap juga tidak menggambarkan sikap orang Banjar Malaysia pada keseluruhannya