Wednesday, April 30, 2008

Akan ke Banua lagi

Dari penelitian saya setakat ini, saya sebenarnya mempunyai keluarga yang agak ramai di Banua (Kalsel), sama ada di sebelah datuk (kakek) atau di sebelah nenek saya. Mereka terbahagi kepada pelbagai kelompok pekerjaan; dari tani, pegawai negeri hinggalah wira swasta.

Ketika berkunjung ke Kalsel dari 10 hingga 15 Mac 2008 yang lalu, saya hanya sempat menemui sebahagian mereka. Sebahagian lagi, khasnya golongan yang lebih muda atau pangkat anak saudara kepada saya, belum sempat saya temui.

Saya harap akan dapat bertemu dengan mereka apabila saya berkunjung lagi ke Kalsel pada masa hadapan. Hanya masanya yang belum pasti. Tapi jika panjang umur dan murah rezeki, saya harap akan dapat juga berjumpa dengan mereka.

Sementara itu, saya mengalu-ngalukan jika ada kulaan dari Banua pula yang berkunjung ke Malaysia.

Wednesday, April 16, 2008

Belum ada rezeki untuk berjumpa

Sebelum saya berkunjung ke Kalsel dari 10 Mac hingga 15 Mac 2008, saya tidak tahu, atau tidak begitu pasti, bahawa datuk (kakek) saya sebelah ayah, Andin Amin bin Andin Tarif ada mempunyai seorang abang bernama Andin Mat Saat. Abangnya itu terus tinggal di Banjar dan tidak ikut berpindah ke Malaysia.

Saya mengetahui bahawa Andin Amin mempunyai abang ini daripada makcik saya Asiah, iaitu satu-satunya anak Andin Amin yang yang masih hidup pada masa ini.

Saya telah menghubungi H.Huzaifah, kenalan saya di Barabai untuk mendapat informasi tentang Andin Mat Saat ini. Beliau yang menghubungi sepupu saya M.Ilmu kemudian memberi tahu bahawa orang yang bernama Andin Mat Saat itu memang pernah wujud, dan mempunyai tiga orang anak, iaitu H.Muhsin, H.Adawiyah, dan H.Ragaiyah. H.Muhsin dikatakan sudah meninggal dunia di Pontianak, H.Adawiyah tinggal di Banjarmasin, dan H.Ragaiyah di Pajukungan.

Saya kemudian menghubungi pula H.Rodinah, anak saudara yang tinggal di Banjarbaru, kalau dia ada informasi tentang H.Adwiyah dan anak-anaknya. Informasi yang diberi oleh H.Rodinah hampir sama dengan informasi yang diberi oleh M.Ilmi.H.Adawiyah tinggal di Banjarmasin, dan mempunyai 4 orang anak, iaitu Faisal Ariffin (sudah meninggal dunia), H.Romsah dan H.Sarawiyah (di Banjarmasin) dan H.Salasiah di Balikpapan). H.Romsah dikatakan tinggal dengan anaknya yang bernama H.Ibnu Arabi.

Kalau sekiranya saya tahu tentang keturunan Andin Mat Saat ini sebelum saya berkunjung ke Kalsel tempoh hari, mungkin saya dapat menemui mereka. Tapi memang agaknya kami belum ada rezeki untuk berjumpa. Jadi saya harap dapat berjumpa dengan mereka pada masa dan kesempatan yang lain.

Kalau cucu dan buyut beliau itu berminat untuk berkenalan dan berkomunikasi dengan saya, saya sekali lagi menurunkan alamat emel dan no. telefon saya, iaitu: el.salleh@gmail.com (emel) dan 60129331545 (HP)