Saturday, December 6, 2008

Telefon dari Mekah

Semalam, 6 Disember 2008, saya menerima telefon daripada adik sepupu saya Syahruddin yang sedang menunaikan ibadat haji di Mekah. Dia memaklumkan dia dan isterinya berada dalam sihat walafiat dan akan berangkat ke Arafah petang hari tersebut untuk mengerjakan wukuf.

Panggilan telefon itu tentu tidak saya duga, kerana kami baru saja dapat berhubung dan berkenalan ketika saya dan isteri berkunjung ke Barabai pada bulan Mac 2008 yang lalu. Itulah kali pertama saya dapat bertemu dengannya, dan dalam pertemuan itu dia ada memaklumkan bahawa dia memang sudah mendapat keizinan untuk menunaikan fardu haji pada tahun ini.

Saya ada menelefon Syahruddin, sebelum dia berangkat ke Mekah pada 19 November 2008. Saya doakan semoga dia dan isterinya akan selamat pergi dan selamat balik, sentiasa sihat walafiat, sentiasa diberi Allah kemudahan dan akan mendapat haji yang mabrur.

Ketika saya menerima telefon daripadanya pada kali ini, doa itulah juga yang dapat saya ulangi: semoga dia akan terus berada dalam sihat walafiat, diberi kemudahan dalam menyelesaikan ibadatnya, selamat pulang ke tanah air (Indonesia) dan akan mendapat haji yang mabrur.Amin.

Thursday, December 4, 2008

Kertas kerja "migrasi orang Banjar" dalam Jurnal KANDIL

Pada tahun 2005 yang lalu saya menyertai Konferensi Antar Universiti Borneo-Kalimantan Pertama yang diadakan di Kuching, Sarawak. Saya membentangkan kertas kerja mengenai migrasi orang Banjar yang saya beri tajuk "Dari Kalimantan Selatan ke Semenanjung Malaysia: Migrasi Orang Banjar pada Dua Zaman".

Kertas kerja itu telah saya kirimkan kepada dua tiga website tentang orang Banjar dan telah disiarkan dengan serta merta. Setelah itu, ia disiarkan semula oleh beberapa website lain, yang terbaru dalam website Al-Banjari dan Kulaan Banjar Net.

Kira-kira setahun yang lalu, Taufik Arbain, dosen UNLAM yang menjadi editor baru jurnal KANDIL dari Banjarmasin telah meminta persetujuan saya untuk memuatkan kertas kerja itu dalam jurnal tersebut.

Mengikut khabar terakhir dari Taufik Arbain melalui emel, jurnal KANDIL yang terbaru baru saja terbit, dan kertas kerja saya ada dimuatkan dalam jurnal itu.

Saya menanti kiriman jurnal itu daripada Taufik Arbain. Saya harap beliau akan segera mengirimkannya.

Tuesday, December 2, 2008

Lawatan ke Banjar

Saya sudah pergi ke Banjar (Kalsel) pada bulan Mac tahun ini (2008) bersama isteri saya. Kebetulan saya ada mempunyai keluarga (anak saudara) yang menunggu kami di bandara, memberi penginapan dan membawa kami berjalan-jalan. Jadi kami tidak ada masalah untuk pergi sendiri.

Akan tetapi, tentu tidak semua orang Banjar di Malaysia, termasuk ahli PBM, yang boleh pergi sendiri dengan mudah, sama ada kerana tidak ada keluarga di sana ataupun kerana sebab-sebab lain.

Jadi saya fikir baik juga jika PBM dapat mengaturkan lawatan ke Banjar secara berombongan pada tahun hadapan (misalnya pada masa cuti sekolah bulan Mei atau Jun).

Jika PBM yang menganjurkan lawatan itu, saya ingin PBM menjadi "duta" orang Banjar Malaysia.

Jadi, di samping lawatan tidak formal, mungkin baik juga jika dapat diaturkan acara lawatan yang agak formal, misalnya bertemu dengan organisasi Banjar ataupun bertemu dengan tokoh Banjar di sana.

Kalau PBM yang mengaturkan lawatan itu, mungkin rombongan dapat bertemu dengan Gabenor Kalsel misalnya, dan bagus juga kalau diberikan jamuan oleh beliau.

Saya harap lawatan secara berombongan ini dapat diaturkan tidak lama lagi, kerana memang sudah lama PBM tidak menganjurkan lawatan ke Banjar.