Thursday, August 13, 2009

Bertemu kawan dan kenalan

Saya tidak tahu berapa ramai keluarga dan kenalan saya di Kalsel yang membaca blog saya ini.

Akan tetapi, sebagai satu cara kita berkomunikasi, saya ingin memaklumkan bahawa saya dan 5 orang adik sepupu saya bercadang akan berkunjung ke Banjar pada awal bulan Disember nanti. Tarikhnya belum pasti, tapi mungkin antara 5 Disember hingga 12 Disember 2009.

Di samping melawat beberapa tempat yang menarik, seperti Pasar Terapung dll, tujuan saya berkunjung ke Banjar pada kali ini tentu saja untuk bertemu dengan keluarga dan kenalan saya, lama dan baru.

Ketika berkunjung ke Banjar pada Mac 2008, saya terutamanya dapat berjumpa dengan kaum keluarga saja, tetapi tidak mempunyai masa yang cukup untuk bertemu dengan kawan dan kenalan.

Mungkin dalam lawatan pada bulan Disember nanti saya mempunyai waktu yang agak mencukupi untuk bertemu dengan kawan dan kenalan, di samping bertemu kembali dengan kaum keluarga saya.

Salam dari Malaysia.

Alamat perhubungan saya: a) Emel:el.salleh@gmail.com, b) HP: 6012-9331545

Friday, August 7, 2009

Lawatan PBM ke Banjarmasin

Persatuan Banjar Malaysia (PBM) ada merancang untuk melakukan lawatan ke Banjarmasin pada awal Jun yang lalu. Lawatan itu dirancang bersempena dengan Festival Banjarmasin Bungas yang akan diadakan dari 6 hingga 10 Jun 2009.

Bagaimanapun, Festival itu dikatakan ditangguhkan. Jadi lawatan itu juga ditangguhkan ke masa yang lain.

Pada hari ini saya menghubungi Hj.Idris, Timbalan Pengerusi PBM untuk bertanya mengenai lawatan itu -- sama ada ditangguhkan atau dibatalkan terus, kerana setakat ini tidak ada khabar berita tentang Festival itu.

Saya diberitahu bahawa lawatan itu tetap akan diadakan, mungkin pada bulan September, selepas Hari Raya Puasa. Hj.Idris akan menguruskan lawatan itu tanpa menggunakan mana-mana perkhidmatan travel agensi.

Masalahnya barangkali belum ramai orang yang akan menyertai lawatan itu. Ini antara lain kerana publisiti tentang lawatan itu pun boleh dikatakan kurang sekali.

Monday, August 3, 2009

Akan Berkunjung ke Banua

Kira-kira 4 bulan yang lalu, ketika menghadiri majlis perkahwinan anak adik sepupu saya Yasmin di Kelang, saya telah bertemu dengan seorang lagi adik sepupu saya, Harun.

Harun begitu bertarik ketika mengetahui saya telah berkunjung ke Banua (ke Kalsel) pada bulan Mac 2008, dan ingin berkunjung juga ke Banua. Oleh itu, setelah berbincang secara ringkas, kami mengambil keputusan akan pergi bersama-sama pada awal September, kira-kira seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri.

Malangnya, setelah saya cek kalendar, awal September masih dalam penggal persekolahan, dan saya tidak boleh pergi meninggalkan cucu yang berada dalam jagaan saya. Oleh itu saya hanya boleh pergi ke Banua selepas Hari Raya Haji nanti, dalam cuti panjang sekolah pada akhir tahun.

Ketika berjumpa dengan Harun di rumah Mak Cik Asiah di Country Home baru-baru ini, kami telah bersetuju akan pergi ke Banua pada tarikh yang baru itu. Jadi kalau tiada apa-apa halangan kami akan pergi ke Banua mulai 5 Disember nanti, dan akan pulang ke Malaysia pada 12 Disember 2009.

Yang sudah menyatakan akan pergi ialah saya dan isteri (berdua), Harun dengan isteri dan seorang anaknya (bertiga), dan seorang sepupu saya, Meli dengan ibunya (berdua). Jadi sekarang sudah ada 7 orang.

Saya bercadang akan pergi secara rombongan, sekurang-kurangnya 10 orang dan maksimum 15 orang. Jadi saya mengalu-alukan saudara mara saya yang lain, yang hendak pergi bersama. Jemputlah hubungi saya sebelum akhir September ( el.salleh 012-9331545)