Wednesday, October 28, 2009

Mencari Haji Mokhsen (di Pontianak) dan Hajah Sarimbun (di Tembilahan)

Dalam usaha saya mencari keluarga saya di Indonesia, ada dua orang  yang   dari segi hubungan kekeluargaan sebenarnya "masih dekat," tetapi masih belum berjaya saya kesan atau temui: pertama, Haji Mokhsen (atau Haji Husin(?) di Pontianak dan kedua, Hajah Sarimbun di Tembilahan.

Nama mereka hanya saya ketahui baru-baru ini. Jadi barangkali memang sudah terlambat, atau terlalu lewat saya ketahui. Kerana itu memang begitu sukar untuk mengesan  mereka.

Haji Mokhsen ialah anak Andin Mat Saat, abang datuk saya, Andin Amin, yang kedua-duanya berasal dari kampung Pajukungan, Barabai (dahulu masuk dalam wilayah pentadbiran Kandangan).  Haji Mokhsen merantau ke Pontianak dan dikatakan terkenal sebagai seorang kaya  di kota itu. Dikatakan  ada "parit"(?) di kota itu yang dinamakan dengan nama beliau.

Haji Mokhsen telah meninggal dunia, tetapi saya kira beliau tentu ada meninggalkan anak dan cucu. Siapakah nama  anak dan cucu beliau? Inilah yang belum saya ketahui.

Hajah Sarimbun pula ialah sepupu kepada datuk  saya Andin Amin, dan berhijrah dari Kalsel ke Tembilahan. Mungkin beliau berhijrah ke Tembilahan lebih awal daripada Andin Amin berhijrah ke Malaysia. Tidak diketahui siapa nama suaminya.

Semasa hidupnya, Hajah Sarimbun dikenal dengan kewarakannya, kerana dia dikatakan berpuasa selama 3 bulan (Rejab, Syakban dan Ramadan) berturut-turut  pada tiap-tiap tahun.

Hajah Sarimbun juga dipercayai  telah meninggal dunia. Tapi siapakah nama anak dan cucunya, jika ada?

Saya ingin tahu. Dan  saya sangat berharap jika ada sesiapa yang mengenali mereka, yang boleh memaklumkan hal  tersebut kepada saya.

Thursday, October 8, 2009

Perubahan tarikh ke Banjarmasin

Atas saranan travel agency pengendali lawatan kami,  tarikh lawatan kami akan diubah kepada 8 Disember hingga 14 Disember. Kami akan pergi hari Selasa dan balik hari Isnin. Jadi masih  7 hari  6 malam.

Mengikut rancangan, kami  akan berada di Banjar selama 4 malam, dan  selepas itu di Jakarta selama 2 malam.

Jadi melawat keluarga di Banjar dan shopping di Jakarta.

Bagaimanapun,  beberapa orang daripada anggota rombongan  akan balik ke Malaysia selepas melawat Banjarmasin dan Barabai, dan tidak mengikuti program lawatan di Jakarta, dua malam yang terakhir.

Program silaturahim menemui keluarga ialah pada hari ketiga dan keempat. Kami akan ke Barabai pada hari ketiga dan bermalam di Barabai satu malam. Petang hari esoknya, hari keempat, kami akan pulang ke Banjarmasin, selepas makan tengahari.

Siapa yang akan menemui kami di Barabai?

Monday, October 5, 2009

Ramainya yang hendak pergi ke Banjarmasin

Insyaallah, jika tiada apa-apa halangan, saya dan  keluarga (kebanyakannya adik sepupu dan anak mereka) akan berkunjung ke Banjarmasin pada awal bulan Disember ini. Tarikhnya belum pasti,  tapi  tarikh yang saya pilih ialah 6 Disember 2009.

Pada mulanya yang hendak pergi bersama saya  beberapa orang saja --  semuanya  tidak sampai 10 orang. Jadi  tempahan tiket kapal terbang  boleh saya uruskan sendiri, begitu juga urusan yang lain.

 Dengan bilangan yang kecil,  saya rasa kami boleh menginap di rumah  keluarga saja apabila  berada di Banjarmasin  nanti. Kami mungkin tidak perlu menginap di hotel.

Bagaimanapun,  dalam sehari dua ini bilangan yang hendak pergi nampaknya sudah  bertambah, sehingga  hampir 20 orang. Ini menyebabkan saya perlu mendapatkan perkhidmatan travel agency untuk menguruskan lawatan kami.

Jika kami pergi seramai 20 orang , saya rasa tidaklah sesuai kami menginap di rumah keluarga, kerana tentunya akan menyusahkan mereka. Dengan itu,  jalan keluarnya barangkali hanyalah menginap di hotel.

Mudah-mudahan kami dapat berkunjung ke Banjarmasin sebagaimana yang direncanakan.