Wednesday, October 28, 2009

Mencari Haji Mokhsen (di Pontianak) dan Hajah Sarimbun (di Tembilahan)

Dalam usaha saya mencari keluarga saya di Indonesia, ada dua orang  yang   dari segi hubungan kekeluargaan sebenarnya "masih dekat," tetapi masih belum berjaya saya kesan atau temui: pertama, Haji Mokhsen (atau Haji Husin(?) di Pontianak dan kedua, Hajah Sarimbun di Tembilahan.

Nama mereka hanya saya ketahui baru-baru ini. Jadi barangkali memang sudah terlambat, atau terlalu lewat saya ketahui. Kerana itu memang begitu sukar untuk mengesan  mereka.

Haji Mokhsen ialah anak Andin Mat Saat, abang datuk saya, Andin Amin, yang kedua-duanya berasal dari kampung Pajukungan, Barabai (dahulu masuk dalam wilayah pentadbiran Kandangan).  Haji Mokhsen merantau ke Pontianak dan dikatakan terkenal sebagai seorang kaya  di kota itu. Dikatakan  ada "parit"(?) di kota itu yang dinamakan dengan nama beliau.

Haji Mokhsen telah meninggal dunia, tetapi saya kira beliau tentu ada meninggalkan anak dan cucu. Siapakah nama  anak dan cucu beliau? Inilah yang belum saya ketahui.

Hajah Sarimbun pula ialah sepupu kepada datuk  saya Andin Amin, dan berhijrah dari Kalsel ke Tembilahan. Mungkin beliau berhijrah ke Tembilahan lebih awal daripada Andin Amin berhijrah ke Malaysia. Tidak diketahui siapa nama suaminya.

Semasa hidupnya, Hajah Sarimbun dikenal dengan kewarakannya, kerana dia dikatakan berpuasa selama 3 bulan (Rejab, Syakban dan Ramadan) berturut-turut  pada tiap-tiap tahun.

Hajah Sarimbun juga dipercayai  telah meninggal dunia. Tapi siapakah nama anak dan cucunya, jika ada?

Saya ingin tahu. Dan  saya sangat berharap jika ada sesiapa yang mengenali mereka, yang boleh memaklumkan hal  tersebut kepada saya.