Monday, March 24, 2008

Keluarga yang Belum Ditemui

Setakat ini usaha saya mencari keluarga sebelah bapa saya di Banua (Kalsel) boleh dikatakan "separuh berjaya". Ini ialah kerana saya telah mengetahui nama sebahagian sepupu dan anak saudara saya, dan telah dapat menemui mereka ketika saya berkunjung ke Banua dari 10 Mac hingga 15 Mac 2008 yang lalu.

Ketika saya berkunjung ke Banjarmasin, Banjarbaru dan Barabai tempoh hari , ramai pula sanak saudara yang lain, yang umumnya pangkat sepupu dan anak saudara kepada saya, datang menemui saya. Jadi terjalinlah sudah hubungan silaturrahim antara saya dengan mereka setelah terputus selama beberapa generasi.

Usaha saya mencari keluarga sebelah bapa ini agak mudah sedikit, kerana datuk (kakek) sebelah bapa saya ada titel "Andin" di pangkal namanya, dan kampung asalnya di Banua juga masih dapat diingati, iaitu Pajukungan (dekat Barabai). Sementara itu, isterinya Aminah ada meninggalkan seorang anak bernama Ningrat di Pajukungan ketika dia berpindah ke Malaysia bersama-sama dengan suaminya Andin Amin pada pertengahan tahun 1920-an dahulu. Nama Ningrat pun mudah diingati oleh keluarga saya yang masih tinggal di kampung Pajukungan. Jadi mudahlah keluarga saya di Banua menghubungi saya pula (melalui telefon, SMS dan emel).

Bagaimanapun, usaha saya mencari keluarga sebelah emak saya setakat kini masih menghadapi jalan buntu, dan belum menampakkkan titik terangnya. Saya hanya tahu datuk(kakek) saya sebelah emak bernama Haji Ali, dan berasal dari Amuntai. Tapi nama kampungnya di Amuntai tidak saya ketahui.Nama isterinya (nenek saya sebelah emak) yang diduga juga berasal dari Amuntai, pun tidak saya ketahui dengan tepat.

Sementara itu, setelah saya pulang dari Banua baru-baru ini, Mak Cik saya Asiah (satu-satunya anak kakek saya Andin Amin yang masih hidup) memberi tahu, bahawa Andin Amin sebenarnya mempunyai seorang abang (abang sulung) bernama Andin Mat Saat yang tidak ikut berpindah ke Malaysia. Walaupun Andin Mat Saat telah meninggal dunia, tetapi keturunannya (misalnya cucu dan buyutnya) tentu masih ada di Banua.

Saya telah bertanya kepada keluarga saya di Barabai kalau-kalau mereka tahu tentang Andin Mat Saat. Syukur alhamdulillah ada yang tahu, dan dapat memberikan nama anak cucu Andin Mat Saat. Jadi setakat ini nama anak cucu Andin Mat Saat telah saya ketahui, hanya saya belum berkesempatan untuk berkenalan dan berjumpa dengan mereka.

Mudah-mudahan , jika umur panjang dan dimurahkan rezeki, saya masih berpeluang untuk bertemu dengan kaum keluarga di Banua yang belum sempat saya temui itu .

No comments: