Thursday, July 26, 2007

Keluarga sebelah Datuk sudah dikenali

Saya sudah berusaha mencari keluarga saya sebelah datuk (Andin Amin) di Kalsel sejak awal tahun 1990-an, antara lain dengan menyiarkan surat dalam ruangan Pembaca dalam akhbar Banjarmasin Post. Saya mendapat banyak respons daripada orang-orang Banjar di Kalsel, tetapi tidak ada respons daripada keluarga saya. Mungkin mereka tidak membacanya.

Baharu-baharu ini, setelah saya menyiarkan posting mencari keluarga dalam blog ini, tanpa saya duga, saya mendapat panggilan telefon daripada Barabai, daripada M.Ilmi , seorang ahli keluarga saya dari sebelah nenek (Aminah tb.Tasan). M.Ilmi cucu kepada Ningrat, anak aruah nenek saya dengan suaminya yang pertama. Saya juga cucu Aminah. Jadi saya dan M.Ilmi adalah pangkat sepupu. Sejak itu bersambunglah kembali hubungan persaudaraan antara kami yang terputus begitu lama.

M. Ilmi telah menghubungi saya dengan telefon sebanyak tiga kali. Di samping itu, kami juga beberapa kali berhubung melalui emel. Hanya nampaknya setakat ini kami belum dapat bertemu muka, kerana saya belum dapat pergi ke Banua Banjar.

Kebetulan M.Ilmi ada mempunyai adikk ipar, bernama H.Huzaifah yang mempunyai HP yang boleh digunakan untuk berhubung melalui emel. Jadi sehingga sekarang hubungan saya dengan keluarga di Kalsel adalah melalui emel dengan H.Huzaifah.

Saya telah meminta H.Huzaifah menolong mencarikan keluarga saya sebelah Datuk (Andin Amin) yang tinggal di Barabai atau kawasan sekitarnya Syukur alhamdillah, dalam masa yang tidak begitu lama, beliau telah dapat menolong mengesan keluarga saya sebelah Datuk

Mengikut ceritanya, Datuk saya Andin Amin ada mempunyai seorang anak lelaki bernama Ahmad Latif dengan isteri beliau yang pertama. Ahmad Latif telah meninggal dunia. Akan tetapi, Ahmad Latif ada mempunyai seorang anak lelaki yang masih hidup, bernama Syahruddin. Jadi Syahruddin juga pangkat sepupu kepada saya. Syahruddin telah menghubungi saya melalui telefon beberapa hari yang lalu.

H.Huzaifah juga telah menolong menemui saudara saya yang lain dari pihak Datuk saya, Andin Amin. Andin Amin sebenarnya ada mempunyai seorang kakak bernama Salamah. Salamah sudah lama meninggal dunia, tetapi seorang buyut (cicit) Salamah, bernama Hj.Rodinah sekarang ada di Banjarbaru, bekerja sebagai dosen Unlam. Hj.Rodinah ialah isteri H.Rasmadi, Rektor Unlam.

Saya telah dapat berhubung dengan H.Rodinah dengan telefon kira-kira dua minggu yang lalu.

Syukur alhamdullilah, sekarang keluarga saya sebelah Datuk yang saya cari sekian lama juga sudah dikenali. Saya berdoa semoga saya akan dapat berkunjung ke Banua dan bertemu dengan mereka tidak lama lagi.

No comments: