Monday, June 4, 2007

Telefon dari Barabai

Pada tahun 1971 yang lalu, seorang bapa saudara saya yang berasal dari Kandangan datang ke kampung saya di Kuala Selangor dan berjumpa dengan Pak Cik dan Mak Cik saya. Saya tidak berapa pasti tujuan dia datang. Tapi kalau tidak silap untuk menyelesaikan tuntutan terhadap harta pesaka yang ditinggalkan oleh ayahnya yang telah meninggal dunia di Malaysia. Itulah kali terakhir kami berhubung dengan saudara kami yang berasal dari Kalsel.

Bagaimanapun, selepas dia pulang ke Kandangan hubungan kami telah terputus. Mungkin selepas itu ada hubungan surat menyurat antara dia dengan bapa saudara saya yang berada di Malaysia, tetapi tidaklah begitu kerap dan akhirnya terputus begitu sahaja. Saya sendiri yang pada masa itu merasakan Banua Banjar itu seperti "dunia lain" masih belum terdorong untuk menghubungi saudara mara saya yang masih ada di Kalsel.

Oleh yang demikian, malam ini adalah malam yang paling berbahagia bagi saya, kerana seorang sepupu saya yang sekarang tinggal di Barabai telah menghubungi saya melalui telefon. Kebetulan dia telah mengetahui saya akan ke Banjarmasin pada pertengahan bulan Jun ini. Dia telah memberi nombor telefon seorang anak saudaranya yang tinggal di Banjarbaru untuk saya hubungi apabila saya telah sampai ke Kalsel nanti.

Saya berharap dengan kunjungan saya ke Banjarmasin nanti, perhubungan persaudaraan yang telah terputus begitu lama akan bersambung kembali. Syukur alhamdulillah!

No comments: